NABI ZAKARIA (ke-duapuluh dua) 
                                                     NABI YAHYA (ke-duapuluh tiga)

 

Nabi Zakaria berasal daripada keturunan Nabi Sulaiman. Baginda mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Musa. Nabi Zakaria menjadi rujukan bagi orang yang ingin mengetahui ajaran-ajaran yang terkandung di dalam kitab Taurat. Baginda tinggal di sebuah tempat bernama Baitul Maqdis.

Isteri Nabi Zakaria bernama Isya'. Dia mempunyai seorang adik perempuan bernama Hannah dan suaminya bernama Imran. Hannah ketika itu sedang mengandung.

Pada suatu hari Hannah telah berdoa: "Tuhanku! Sesungguhnya aku menazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata. Maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah  Yang Maha  Mendengar  Lagi  Maha Mengetahui."

Hannah sangat menginginkan seorang anak lelaki. Tidak beberapa lama kemudian Hannah melahirkan seorang  bayi   perempuan;   "Wahai   Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan, Allah memang mengetahui jantinanya, dan memanglah tidak sama anak perempuan dengan anak lelaki. Aku telah menamakannya Maryam. Aku memohon perlindungan-Mu untuknya dan zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang direjam," kata Hannah.

Hannah berasa  sedih kerana  beliau telah melahirkan seorang anak perempuan, namun Allah s.w.t. lebih mengetahui segala-galanya. Maryam kelak menjadi ibu kepada seorang nabi yang salih iaitu Nabi Isa.

Dengan kehendak Allah s.w.t. kedua-dua ibu bapa Maryam meninggal dunia tidak lama kemudian. Maryam sangat disayangi oleh orang-orang yang tinggal di sekeliling rumahnya. Masing-masing berebut-rebut untuk memeliharanya. Perselisihan timbul di kalangan mereka dan akhirnya mereka merujukkan perkara tersebut kepada Nabi Zakaria.  Setelah memikirkan perkara tersebut, Nabi Zakaria memohon kepada Allah s.w.t. supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang paling baik.

Nabi Zakaria mencadangkan supaya undian diadakan. Orang-orang yang terlibat bersetuju dengan cadangan tersebut. Setelah dijalankan undian didapati Nabi Zakaria sendiri berhak memelihara Maryam.

Maryam dipelihara dan dididik dengan baik oleh Nabi Zakaria sehinggalah beliau dewasa. Maryam sangat kuat beribadat kepada Allah s.w.t. Nabi Zakaria telah membina sebuah mihrab untuk Maryam sebagai tempat beliau beribadat.

Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrabnya, baginda mendapati ada makanan dan buah-buahan di sisinya. Nabi Zakaria kehairanan.

"Wahai Maryam, dari mana kamu dapat rezeki ini?" tanya Nabi Zakaria.

"Rezeki ini daripada Allah. Sesungguhnya Allah memberikan   rezeki   kepada   sesiapa   yang dikehendaki-Nya dengan tidak dihitung," kata Maryam.

Pada waktu yang sama, Nabi Zakaria juga menginginkan seorang anak. Baginda sentiasa berdoa:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar doa dan permohonan."

Allah s.w.t. memperkenankan doa Nabi Zakaria. Baginda amat gembira apabila mendapat tahu isterinya akan melahirkan seorang anak lelaki yang salih. Nabi

Zakaria tidak sabar menanti anak yang bakal lahir itu. Oleh itu Nabi Zakaria berdoa lagi: "Wahai Tuhanku!

Jadikanlah bagiku satu tanda."

"Tandanya ialah bahawa kamu tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari, kecuali  dengan isyarat sahaja.  Dan berzikirlah banyak-banyak  untuk  mengingati  Tuhanmu  dan bertasbihlah memuji-Nya pada waktu malam dan pada waktu pagi," firman Allah s.w.t. kepada Nabi Zakaria.

Pada suatu hari lidah Nabi Zakaria yang dahulunya boleh bercakap tiba-tiba menjadi bisu. Inilah tanda yang ditunggu-tunggu oleh Nabi Zakaria. Akhirnya anak yang dinanti-nantikan itu pun lahir lalu diberi nama Yahya.

Yahya merupakan anak yang dapat menenangkan jiwa Nabi Zakaria. Nabi Zakaria seolah-olah memperoleh semangat dan kekuatan baru untuk terus menyeru manusia ke jalan Allah. Yahya dipelihara dan dididik dengan sebaik-baiknya sehingga dewasa. Seperti Nabi Zakaria, Yahya juga dilantik oleh Allah s.w.t. menjadi seorang nabi.

Bersama-sama anaknya Nabi Yahya, Nabi Zakaria terus menyeru kaumnya kepada agama Allah s.w.t., tetapi ada di kalangan kaumnya iaitu kaum Yahudi yang menyimpan niat yang jahat terhadapnya. Pada suatu hari Nabi Zakaria dan Nabi Yahya telah diserang oleh kaumnya kerana mereka tidak bersetuju mengenai perkahwinan dua orang bangsawan yang bersaudara.

Nabi Yahya telah ditangkap dan dipenggal kepalanya. Nabi Zakaria melarikan diri. Ke mana saja baginda lari mereka tetap mengekorinya. Akhirnya baginda sampai ke sebatang pokok yang besar, dengan kehendak Allah s.w.t. pokok tersebut terbelah dua. Nabi Zakaria terus masuk ke dalam dan pokok tersebut bercantum kembali.

Kaum Yahudi yang sedang mengejarnya hairan ke mana baginda telah melarikan diri. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka ternampak secebis kain terkeluar daripada pokok tersebut.

"Tentu Zakaria di dalam pokok ini," kata salah seorang daripada mereka.

"Mari kita gergaji pokok ini," cadang seorang daripada mereka.

Pokok tersebut pun digergaji dan wafatlah Nabi Zakaria di tangan kaum Yahudi yang zalim.

-TAMAT-