NABI ISA (ke-duapuluh empat)

 

Nabi Isa adalah anak kepada Maryam yang telah dibesarkan oleh Nabi Zakaria. Allah s.w.t. telah menurunkan kitab Injil sebagai syariat yang akan diikuti oleh orang-orang yang beriman ketika itu. Kelahiran baginda adalah suatu ketentuan daripada Allah s.w.t. kerana Nabi Isa tidak mempunyai ayah.

Pada suatu hari malaikat Jibril telah bertemu Maryam lalu berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah menggembirakanmu dengan mengurniakanmu seorang putera yang kamu akan kandung semata-mata dengan kalimah daripada Allah."

"Wahai  Tuhanku!  Bagaimanakah  aku mendapat seorang anak, pada hal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" kata Maryam.

"Demikianlah yang akan berlaku," firman Allah s.w.t.

Allah s.w.t. ingin membuktikan kepada manusia bahawa Dia amat berkuasa melakukan apa yang disukai-Nya. Apa yang berlaku adalah untuk menguji keimanan manusia pada zaman itu hinggalah hari kiamat nanti.

Allah s.w.t. telah mengajar Nabi Isa ilmu menulis, hukum-hukum agama dan juga kitab Taurat dan Injil.

Seterusnya Nabi Isa dilantik oleh Allah s.w.t. sebagai seorang rasul kepada Bani Israil yang juga dikenali sebagai kaum Yahudi. Nabi Isa melaksanakan tugasnya sebagai seorang rasul dengan tekun dan sabar.

"Aku datang kepada kamu dengan membawa satu tanda dari Tuhan kamu. Aku akan membuat untuk kamu bentuk seperti seekor burung daripada tanah liat. Kemudian aku akan meniupnya lalu jadilah ia seekor burung yang hidup dengan izin Allah," kata Nabi Isa.

Orang-orang Yahudi yang hadir ketika itu terpegun melihat apa yang berlaku di hadapan mata mereka, namun mereka masih tidak mahu menerima hakikat bahawa ia berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. dan bukannya sihir seperti yang mereka selalu sangkakan.

Pada  hari  yang lain pula  baginda  telah menyembuhkan orang buta, orang yang berpenyakit sopak dan menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah s.w.t. Baginda juga boleh memberitahu mereka apa yang mereka makan dan apa yang mereka simpan di rumah mereka.

Namun kesemua peristiwa ini tidak meyakinkan orang-orang Yahudi tentang kekuasaan Allah s.w.t. Nabi Isa tetap tidak berputus asa dengan usaha dakwah baginda. Golongan pemerintah dan mereka yang kaya amat susah menerima kebenaran.

Usaha baginda juga ditumpukan kepada rakyat jelata di negeri tersebut termasuk kaum yang fakir dan miskin. Mereka ini bekerja sebagai pencuci, penenun kain dan nelayan. Ada juga yang bekerja sebagai tukang-­tukang yang mahir dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Pada suatu hari Nabi Isa telah memanggil pengikut-pengikutnya. Mereka berhimpun di keliling Nabi Isa untuk mendengar apa yang disampaikan olehnya.

"Siapakah penolong-penolongku untuk menegakkan agama Allah?" tanya Nabi Isa.

Mereka meletakkan tangan mereka pada tangan Nabi Isa, lalu berkata:

"Kamilah penolong-penolong agama Allah. Kami beriman kepada Allah, dan saksikanlah wahai Nabi Allah, bahawasanya kami ialah orang yang telah menyerah sepenuhnya kepada Allah. Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu. Oleh itu kami adalah daripada kalangan orang-orang yang menyaksikan kebenaran Rasul-Mu."

Nabi Isa mengembara ke seluruh pelosok negerinya. Baginda pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mengajak orang-orang Yahudi kepada agama Allah.

Pengikut-pengikutnya digelar Hawariyun. Mereka tidak memiliki akhlak seperti Nabi Isa. Mereka mudah merasa keperitan dalam kehidupan mereka. Oleh itu mereka meminta Nabi Isa supaya memohon kepada Allah s.w.t. agar diturunkan makanan daripada langit kepada mereka.

"Wahai Isa anak Maryam! Adakah Tuhanmu dapat menurunkan kepada kami satu hidangan makanan dari langit?" kata mereka dengan sombong.

Nabi Isa bimbang kaumnya akan ditimpa bencana kerana cara mereka meminta sungguh biadap. Baginda mengingatkan akan akibat buruk yang mungkin menimpa mereka kerana sikap seperti itu.

Tetapi mereka sebenarnya bersungguh-sungguh dengan permintaan mereka. Mereka berkata bahawa mereka bukan bermain-main. Mereka tidak berniat untuk menguji kekuasaan Allah s.w.t. Mereka hanya ingin menenangkan jiwa mereka. Hidangan makanan dari langit itu akan menjadi kenangan bagi anak cucu mereka. Peristiwa itu akan menjadi kisah dan bukti tentang kedudukan mulia orang-orang beriman yang terdahulu dan orang-orang Hawariyun.

Allah  berfirman:  "Sesungguhnya  Aku  akan menurunkan hidangan makanan itu kepada kamu. Kemudian, sesiapa di antara kamu yang ingkar sesudah hidangan itu diturunkan maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku kenakan ke atas sesiapa pun dari sekalian makhluk."

Sementara itu perasaan benci dan dengki kaum Yahudi  semakin  menjadi-jadi.  Mereka  hendak membunuh Nabi Isa.  Hasrat mereka disampaikan kepada raja Rom yang ketika itu memerintah negeri tersebut.

Nabi Isa dituduh sebagai seorang pemberontak yang   sentiasa   menimbulkan   kacau   bilau, memperdayakan mereka dan mempengaruhi anak-anak muda supaya meninggalkan agama nenek moyang mereka. Akhirnya ramai di antara mereka yang telah menjadi pengikutnya.

Nabi Isa dituduh sebagai seorang yang berbahaya kepada kerajaan. Baginda tidak tunduk kepada undang-undang atau mengikut peraturan kerajaan ketika itu. Baginda tidak menghormati para pembesar dan memuliakan orang ternama yang dahulu kala. Oleh itu Nabi Isa boleh menyebabkan masyarakat yang sedia ada kacau bilau. Sekiranya kejahatannya tidak disekat, tentu suasana akan bertambah buruk.

Kaum Yahudi tahu pihak pemerintah tidak mengambil berat langsung akan hal-ehwal agama. Mereka tidak berminat tentang hal-hal agama. Sudah menjadi dasar pemerintahan Rom tidak campur tangan dalam urusan agama Yahudi. Kaum Yahudi terus mendakwa bahawa kegiatan Nabi Isa bukan saja boleh mengancam urusan agama Yahudi tetapi ia juga boleh mengancam pentadbiran negara.

Raja Rom tidak faham tentang sikap kaum Yahudi. Mereka tidak tahu apakah masalah yang sebenarnya berlaku. Pihak pemerintah Rom hairan kenapa kaum Yahudi terlalu memusuhi Nabi Isa. Akhirnya pihak pemerintah  Rom  mengambil  keputusan  tidak mempedulikan aduan kaum Yahudi kerana mereka sibuk dengan urusan negara.

Tetapi kaum Yahudi terus membuat aduan dan tuduhan ke atas Nabi Isa. Mereka berulang-ulang menimbulkan persoalan Nabi Isa di hadapan Raja Rom. Akhirnya pemerintahan Rom mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mereka pun menangkap Nabi Isa dengan pertolongan kaum Yahudi.

Hari Sabtu merupakan hari yang mulia bagi kaum Yahudi. Pada hari Sabtu mereka tidak membuat apa-apa kerja. Kaum Yahudi amat berharap agar keputusan mengenai Nabi Isa dapat dibuat sebelum tenggelam matahari pada hari Jumaat. Sesudah itu barulah mereka dapat berehat tanpa memikirkan masalah Nabi Isa.

Nabi Isa dihadapkan ke mahkamah. Suasana di dalam mahkamah bising dengan suara kaum Yahudi. Ada yang mengejek Nabi Isa dan ada yang bergurau senda. Hari semakin petang dan tidak lama lagi matahari akan tenggelam. Akhirnya hakim pun menjatuhi hukuman bunuh ke atas Nabi Isa. Baginda akan dipaku pada kayu salib sehingga mati. Kebiasaannya orang yang bersalah akan memikul kayu salib tersebut pergi ke tempat untuk dijalankan hukuman.

Kaum Yahudi  sungguh gembira mendengar keputusan tersebut.  Tanpa berlengah-lengah lagi pengawal-pengawal di mahkamah membawa Nabi Isa keluar. Orang-orang Yahudi menolak-nolak Nabi Isa. Nabi Isa terlalu letih untuk memikul kayu salib yang berat itu. Tambahan pula baginda telah lama berada di mahkamah. Baginda tidak terdaya lagi untuk berjalan dengan cepat.

Melihatkan keadaan Nabi Isa itu, pengawal yang menjaganya  menyuruh  seorang  pemuda  Yahudi mengambil dan memikul kayu salib tersebut daripada baginda. Perarakan Nabi Isa tadi sampai ke pintu gerbang tempat di mana hukuman akan dijalankan. Pengawal yang menjaga tempat itu pun keluar dan mengambil alih tugas yang selanjutnya daripada pengawal dari mahkamah itu tadi.

Pengawal tersebut memegang tangan pemuda yang memikul salib itu. Dia menyangka pemuda itu ialah Nabi Isa. Pemuda itu terperanjat lalu menjerit sambil berkata bahawa dia bukan Nabi Isa. Dia bukanlah orang yang hendak dihukum. Dia cuma disuruh memikul kayu salib itu sahaja.

Pengawal tersebut tidak mempedulikan kata-­katanya kerana dia tidak faham bahasa "Thrani" yang dituturnya. Kaum Yahudi pula hanya melihat peristiwa itu dari jauh. Pada waktu itu hari sudah malam. Mereka benar-benar menyangka bahawa orang yang disalib itu ialah Nabi Isa.

Sebenarnya Allah s.w.t. telah menyelamatkan Nabi Isa daripada angkara kaum Yahudi. Allah mengangkat Nabi Isa ke langit dengan penuh kemuliaan dan penghormatan.

Sebelum datangnya hari kiamat nanti, Nabi Isa akan turun dari langit atas perintah Allah s.w.t. Baginda akan membuktikan apa yang diserunya kepada orang Yahudi dan Nasrani adalah benar.

"Dan tidak ada seorang pun daripada kalangan ahli Kitab melainkan dia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum dia mati; dan pada hari kiamat kelak, Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka," firman Allah s.w.t.

-TAMAT-