Nabi
Muhammad dilahirkan pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah. Pada tahun
inilah Abrahah menyerang kota Makkah untuk merobohkan Kaabah.
Tetapi Allah s.w.t. telah menyelamatkan Kaabah dan membinasakan
Abrahah serta tenteranya. Bapa Nabi Muhammad bernama Abdullah
bin Abdul Mutalib dan ibunya bernama Aminah binti Wahab.
Kedua-dua mereka berbangsa Quraisy, salah satu bangsa yang mulia
ketika itu. Tidak lama selepas Abdullah berkahwin dengan Aminah,
beliau telah keluar bersama satu kafilah perdagangan ke Syria.
Malangnya di dalam perjalanan pulang ke Makkah beliau telah
jatuh sakit lalu meninggal dunia di Madinah. Ketika itu beliau
berumur lebih kurang 25 tahun.
Pada
ketika itu Aminah sedang mengandungkan Nabi Muhammad. Oleh itu
Nabi Muhammad dilahirkan sebagai seorang anak yatim. Abdul
Mutalib, datuk Nabi Muhammad sangat gembira dengan kelahiran
baginda setelah beliau
bersedih dengan
kematian anak
kesayangannya Abdullah. Abdul Mutalib membawa bayi yang baru
dilahirkan itu ke Kaabah. Beliau berdiri di hadapan Kaabah
sambil bersyukur kepada Allah dan menamakan bayi itu Muhammad.
Ketika
masih bayi lagi Nabi Muhammad telah diserahkan kepada Suwaibah,
seorang hamba abdi perempuan yang dimiliki oleh bapa saudara
baginda iaitu Abu Lahab. Kemudian Nabi Muhammad diserahkan
kepada seorang wanita Badwi yang bernama Halimah.
Pada
tahun tersebut telah berlaku kemarau dan wabak taun. Halimah dan
keluarganya kehabisan makanan. Halimah mempunyai seekor keldai
betina yang berwarna coklat. Beliau juga mempunyai seekor unta
betina yang telah tua. Halimah dan suaminya tidak dapat tidur
kerana anak-anak mereka asyik menangis disebabkan kelaparan.
Susunya tidak mencukupi untuk mengenyangkan anak-anaknya. Dengan
bersusah payah, mereka pergi ke Makkah. Harapan mereka hanyalah
untuk mendapat upah menyusukan anak orang-orang di bandar
tersebut.
Tiada
sesiapa pun yang ingin menerima Nabi Muhammad setelah mereka
mengetahui baginda seorang bayi yang yatim. Halimah dan suaminya
berazam untuk mendapat upah sebanyak mungkin. Menyusukan seorang
anak yatim yang hanya dibela oleh datuk dan ibunya sudah tentu
tidak akan mampu memberi mereka upah yang banyak. Pada mulanya
mereka enggan mengambil baginda. Mereka berusaha mencari bayi
yang lain, namun tidak kedapatan seorang pun. Pada ketika
itu, wanita-wanita yang lain telah bersiap-siap untuk kembali ke
rumah masing-masing. Dalam keadaan begitu Halimah berkata kepada
suaminya:
"Demi
Allah, aku tidak mahu pulang tanpa membawa seorang bayi pun. Aku
akan pergi ke rumah anak yatim itu dan mengambilnya."
"Sesungguhnya
tiada halangan bagimu berbuat demikian. Mungkin Allah akan
menurunkan rahmat-Nya melalui bayi tersebut," kata suami
Halimah.
Halimah
pergi ke rumah Nabi Muhammad dan membawa baginda pulang
semata-mata kerana tiada bayi yang lain untuk disusukan. Apabila
Halimah mendukung baginda, beliau terasa susunya menjadi banyak,
dan apabila disusukan baginda terus menyusu hingga kenyang.
Kemudian, anak-anaknya pula dapat menyusu walaupun semalamnya
mereka kelaparan.
Suami
Halimah pula pergi untuk memerah susu daripada unta betina
mereka. Alangkah terkejutnya beliau kerana didapatinya unta
tersebut mengeluarkan susu dengan banyaknya. Mereka pun meminum
susu tersebut hingga kenyang. Kemudian barulah mereka dapat
tidur dengan nyenyaknya.
"Demi
Allah, Halimah. Engkau telah dikurniakan seorang bayi yang
dirahmati," kata suaminya.
"Dengan
rahmat Allah, aku berharap begitulah," jawab Halimah.
Keldai
yang kurus kering ketika Halimah menunggangnya ke Makkah
tiba-tiba menjadi begitu kuat hinggakan orang-orang lain
terkejut melihatnya. Keadaan di kawasan perkampungan mereka juga
telah berubah. Tanah yang kering kontang kini subur dengan
rumput yang menghijau. Binatang ternakan mereka kini mendapat
makanan yang cukup dan semakin bertambah susunya.
Setelah
lima tahun tinggal bersama Halimah baharulah Nabi Muhammad
diserahkan kepada ibunya Aminah. Tetapi apabila Nabi Muhammad
berumur lebih kurang enam tahun ibunya meninggal dunia. Dengan
kematian ibunya, baginda telah menjadi seorang anak yatim piatu.
Oleh itu datuknya Abdul Mutalib telah mengambil Nabi Muhammad
untuk dijaga. Abdul Mutalib amat menyayangi baginda. Dua tahun
kemudian datuk kesayangan Nabi Muhammad itu pula meninggal
dunia. Alangkah sedihnya baginda menghadapi semua perkara
tersebut sedangkan umur baginda ketika itu baharu lapan tahun.
Sebelum
Abdul Mutalib meninggal dunia, beliau telah mewasiatkan agar Abu
Talib, bapa saudara Nabi Muhammad menjaga baginda. Walaupun Abu
Talib mempunyai anak yang ramai, beliau tidak keberatan untuk
mengambil alih tugas yang telah diamanahkan oleh bapanya itu.
Nabi
Muhammad menjadi seorang penggembala kambing seperti kebanyakan
kanak-kanak di Makkah ketika itu. Baginda akan membawa
kambing-kambingnya memakan rumput di kawasan bukit dan lembah
yang terletak di sekeliling bandar Makkah. Semasa Nabi Muhammad
menggembala kambing-kambingnya,
baginda sering memerhati dan meneliti kejadian alam. Baginda
sangat kagum melihat segala yang ada di sekelilingnya dan sering
bertanya pada dirinya:
"Siapakah
yang menjadikan semua ini?"
Ketika
Nabi Muhammad berumur 12 tahun, bapa saudaranya Abu Talib telah
berangkat untuk berniaga di Syria. Pada mulanya Abu Talib
keberatan untuk membawa Nabi Muhammad bersama kerana perjalanan
ke sana amat sukar. Nabi Muhammad memujuk bapa saudaranya agar
membenarkan baginda mengikutinya. Setelah beberapa lama
baharulah Abu Talib bersetuju untuk membawa baginda. Di dalam
peijalanan tersebut kafilah perdagangan Abu Talib telah bertemu
dengan seorang paderi Kristian yang bernama Bahira.
Apabila
Bahira melihat Nabi Muhammad, beliau terus
mengamat-amati baginda.
Bahira ingin
memastikan bahawa baginda sebenarnya adalah seorang rasul yang
dilantik oleh Allah. Bahira mengetahui tanda-tanda ini daripada
kitabnya. Bahira adalah penganut ajaran yang dibawa oleh Nabi
Isa.
Bahira
menjemput mereka makan di rumahnya. Setelah kafilah itu selesai
makan, Bahira pun bangun dan terus menghampiri Nabi Muhammad.
"Anak
muda! Aku bersumpah dengan nama Al-Latta dan Al-Uzza supaya
engkau menjawab soalan-soalanku," kata Bahira.
Bahira
berkata demikian hanyalah untuk menguji sama ada baginda
benar-benar seorang rasul.
"Jangan
bertanya kepadaku dengan menyebut Al-Latta dan Al-Uzza kerana
aku sangat benci akan kedua-duanya," jawab Nabi Muhammad.
"Oleh
itu dengan nama Allah aku ingin engkau menjawab soalan-soalan
yang aku tanyakan padamu," kata Bahira lagi.
Bahira
mula bertanya Nabi Muhammad tentang keadaan bagaimana baginda
tidur. Baginda menjawab soalan-soalan Bahira dan semua
jawapannya menepati apa yang termaktub di dalam kitab Bahira.
Selepas
itu Bahira pun menghampiri Abu Talib lalu berkata:
"Pulanglah ke negerimu segera bersama anak saudaramu ini.
Lindungilah dia daripada orang-orang Yahudi. Demi Allah
sekiranya mereka melihatnya dan mengetahui apa yang telah aku
ketahui nescaya mereka akan melakukan kejahatan
terhadapnya."
Abu
Talib pun menerima nasihat Bahira. Setelah selesai berdagang di
Syria beliau pun kembali ke Makkah dengan segera.
Ketika
Nabi Muhammad berumur 15 tahun, satu peperangan yang amat
panjang telah berlaku di Ukaz. Ia dikenali sebagai peperangan
Fijar. Peperangan tersebut adalah di antara kaum Quraisy dan
Bani Kinanah di satu pihak menentang Qays Aylan di pihak yang
lain.
Di
dalam salah satu pertempuran tersebut Nabi Muhammad telah
merawat bapa saudaranya, tetapi baginda tidak pernah mengangkat
senjata menentang mana-mana belah pihak. Tugas baginda hanyalah
mengutip anak-anak panah yang jatuh dan memberi kepada bapa
saudaranya.
Setelah
peperangan tamat, orang-orang Arab merasakan perlu diadakan-
satu perjanjian di antara kabilah-kabilah yang ada. Tujuannya
ialah agar keadilan dapat ditegakkan dan undang-undang untuk
menyekat penggunaan senjata secara sewenang-wenangnya dapat
diadakan.
Nabi
Muhammad telah memainkan peranan yang penting di dalam
pembentukan perjanjian tersebut sehinggalah ia dapat
mempengaruhi kabilah-kabilah di seluruh pelosok negara Arab.
Pada suatu hari Abu Talib berjumpa Nabi Muhammad. Beliau
meluahkan perasaannya kepada baginda:
"Sebagaimana
yang engkau ketahui, aku adalah seorang
yang miskin
dan sedang
menghadapi kesempitan. Ada satu kafilah perdagangan
Quraisy yang akan bertolak ke Syria. Tuan punyanya, Khadijah
binti Khuwailid memerlukan
pemuda-pemuda daripada
kabilah kita untuk menguruskan barang-barangnya. Sekiranya
engkau menawarkan dirimu untuk kerja ini, nescaya beliau akan
menerimanya dengan senang hati."
"Sekiranya
itu yang ayah kehendaki, saya bersetuju," jawab Nabi
Muhammad dengan rela.
Abu
Talib pun menemui Khadijah dan terus memberitahunya akan
kesediaan Nabi Muhammad itu. Tanpa berlengah-lengah lagi
Khadijah terus bersetuju. Beliau memang sudah mengetahui akhlak
baginda.
"Aku
akan memberi dua kali ganda daripada apa yang aku tawarkan
kepada orang lain dalam kabilahmu," kata Khadijah.
Mereka
pun bersiap sedia dan tidak lama kemudian Nabi Muhammad pun
berangkat bersama kamah perdagangan tersebut.
Maisarah seorang pembantu rumah Khadijah turut serta.
Kafilah itu mengikut jalan yang biasa dilalui oleh bapa
saudaranya.
Setibanya
di suatu tempat, baginda telah berehat sebentar di bawah
sebatang pokok yang rendang. Seorang paderi Kristian yang
tinggal tidak berapa jauh dari situ tergesa-gesa menghampiri
tempat baginda berehat itu.
"Sejak
Nabi Isa putera Maryam, tiada sesiapa yang duduk disini
melainkan seorang rasul," kata paderi Kristian itu.
"Adakah
cahaya daripada matanya sentiasa memancar-mancar begini,"
tanya paderi Kristian itu kepada Maisarah. Maisarah mengangguk.
"Dia
adalah rasul yang terakhir," kata paderi Kristian itu lagi.
Ketika
Nabi Muhammad sedang sibuk berniaga, seorang pembeli menyuruh
baginda bersumpah dengan nama Al-Latta dan Al-Uzza. Dengan tegas
Nabi Muhammad menjawab:
"Aku
tidak pernah berbuat demikian. Apabila aku berjalan, aku akan
mengambil jalan yang lain semata-mata
untuk mengelak daripada
melihat kedua-duanya."
"Engkau
seorang yang jujur, dan apa yang engkau beritahu adalah benar.
Demi Allah, engkau adalah orang yang disebut-sebut oleh cerdik
pandai kami dan diceritakan di dalam kitab-kitab kami,"
kata orang tersebut.
Setelah
mereka bersedia kafilah tersebut berangkat ke Syria. Nabi
Muhammad berjaya menjual kesemua barangan yang dibawanya dan
membawa kembali ke Makkah dengan keuntungan yang besar
berbanding dengan yang biasa didapati oleh Khadijah. Khadijah
sungguh gembira dan mula tertarik hati kepada Nabi Muhammad.
Lama
kelamaan Khadijah menyatakan hasratnya untuk mengahwini Nabi
Muhammad. Maisarah begitu gembira sekali. Beliau pergi menemui
Nabi Muhammad.
"Apakah
yang menghalang engkau daripada berkahwin?" kata Maisarah.
"Aku
tidak mempunyai apa-apa harta," jawab Nabi Muhammad.
"Sekiranya
masalah itu diatasi, dan engkau ditawarkan untuk berkahwin
dengan seorang wanita yang sangat cantik lagi kaya yang datang
daripada keturunan yang mulia, apakah engkau akan terima?"
tanya Maisarah.
"Siapakah
yang engkau maksudkan?" tanya baginda pula.
"Khadijah,"
jawab Maisarah.
"Tapi....
bagaimana aku boleh berbuat begitu?" tanya baginda lagi.
"Serahkan
semuanya kepadaku," kata Maisarah.
"Kalau
begitu aku bersetuju," jawab baginda.
Tidak
lama kemudian Nabi Muhammad pun berkahwin dengan Khadijah.
Ketika itu baginda berumur 25 tahun sementara Khadijah berumur
40 tahun. Khadijah merupakan
seorang isteri yang
amat penyayang. Beliau banyak membantu Nabi Muhammad di
dalam hidupnya. Perkahwinan
baginda dengan Khadijah menghasilkan 7 orang anak: Qasim,
Tayyib, Tahir, Ruqayyah, Zainab, Ummi Khalthum dan Fatimah.
Qasim, Tayyib dan Tahir meninggal dunia semasa mereka bayi lagi.
Pada
suatu ketika, banjir telah melanda Makkah sehingga sebahagian
daripada Kaabah runtuh. Kerja-kerja membaik pulih Kaabah
berjalan dengan lancar sehinggalah siap. Tetapi satu masalah
telah timbul iaitu siapakah
di antara
mereka yang
akan diberi
penghormatan untuk meletakkan kembali batu hitam atau Hajar
Aswad ke tempat asalnya. Ketua-ketua puak mula bertengkar sesama
sendiri sehingga ada yang mengeluarkan senjata. Salah seorang
ketua puak yang tua di antara mereka iaitu Abu Umayyah bin
Mughirah membuat satu saranan:
"Orang
yang pertama memasuki kawasan mi besok akan diberi hak untuk
menentukannya."
Puak-puak
yang sedang bertengkar itu bersetuju dengan cadangan Abu
Umayyah. Keesokannya, Nabi Muhammad merupakan orang yang pertama
memasuki kawasan tersebut. Puak-puak yang bertelagah itu pun
berteriak: "Al-Amin
telah datang!"
Mereka pun menceritakan kepada Nabi Muhammad apa yang
telah berlaku.
"Kami
menerima keputusan yang engkau akan buat," kata mereka.
Dengan
tenang, Nabi Muhammad membentang kain serbannya dan meletakkan
Hajar Aswad di tengah-tengahnya. Baginda menyuruh setiap ketua
puak memegang tepi kain tersebut dan mengangkatnya bersama-sama.
Apabila sampai
di tempat
yang dikehendaki, Nabi Muhammad sendiri mengangkat Hajar Aswad
tersebut lalu diletakkannya di tempat yang telah dipersetujui.
Dengan itu terhindarlah puak-puak tersebut daripada pergaduhan
yang mungkin membawa kepada peperangan yang besar.
Corak
kehidupan orang-orang Arab ketika itu membuatkan Nabi Muhammad
sangat sedih. Kehidupan mereka penuh dengan kacau bilau,
penyembahan berhala, peperangan, peijudian, pelacuran dan segala
macam bentuk maksiat. Di dalam keadaan begitulah, Nabi Muhammad
sering pergi ke kawasan bukit-bukau untuk mengasingkan dirinya
daripada masyarakat di kota Makkah. Di antara tempat yang paling
disukai oleh baginda ialah Gua Hira'. Gua Hira' terletak di
sebuah gunung yang bernama Nur.
Pada
suatu malam, di dalam bulan Ramadan, Nabi Muhammad tidur di gua
Hira'. Ketika itu baginda berumur 40 tahun. Sedang baginda
tidur, tiba-tiba malaikat Jibril datang lalu memeluk baginda
dengan kuat.
"Bacalah!"
kata Jibril.
"Aku
tidak tahu membaca!"jawab baginda.
Jibril
sekali lagi
memeluk baginda
dan menyuruhnya membaca, tetapi baginda mengatakan bahawa
baginda tidak tahu membaca. Kali ketiga Jibril memeluk dan
menyuruh baginda membaca, baginda memberi jawapan yang sama.
Jibril pun melepaskan Nabi Muhammad. Baginda terasa amat letih.
Kemudian Jibril menyuruh baginda membaca seperti mana yang
dibacanya, iaitu ayat-ayat daripada surah Al-'Alaq yang
bermaksud:
"Bacalah
dengan nama
Tuhanmu yang
menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal
darah...."
Nabi
Muhammad menyebut seperti mana yang disebut oleh Jibril.
Dalam
keadaan takut dan gementar Nabi Muhammad berlari
menemui isterinya Khadijah. Baginda menyuruh isterinya
menyelimutkannya. Setelah kembali tenang, baginda menceritakan
apa yang berlaku kepada isterinya. Kemudian mereka berdua pergi
menemui bapa saudara Khadijah, Waraqah bin Naufal. Bapa
saudaranya seorang yang alim. Beliau menjelaskan bahawa
peristiwa tersebut menandakan bahawa Nabi Muhammad telah dipilih
oleh Allah s.w.t. menjadi seorang rasul.
Orang
pertama yang memeluk Islam ialah isterinya, Khadijah. Beliau
diikuti oleh Ali bin Abu Talib yang pada waktu itu masih seorang
budak, dan Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah. Selepas
itu, Abu Bakar, seorang yang terkenal di kalangan orang-orang
Quraisy yang juga merupakan kawan karib baginda memeluk Islam.
Ini diikuti oleh Uthman bin Affan dan Zubair bin Al-Awam.
Selama
tiga tahun, Rasulullah berdakwah secara rahsia di kalangan ahli
keluarga dan sahabat-sahabatnya yang rapat. Pada suatu hari,
Allah s.w.t. menurunkan wahyu-Nya supaya dakwah Rasulullah
dilakukan secara terang-terangan.
Pada
suatu hari Rasulullah telah mengumpulkan penduduk-penduduk
Makkah berdekatan Bukit Safa. Baginda berdiri di atasnya.
Orang-orang Quraisy tertanya-tanya apa yang hendak
dilakukan oleh baginda. Tiba-tiba Rasulullah bersabda:
"Wahai
orang-orang Quraisy! Sekiranya aku beritahu bahawa ada tentera
yang sedang mara untuk menyerang kamu di belakang bukit ini,
adakah kamu akan mempercayai aku?"
"Ya,"
mereka menjawab. "Kami tahu kamu memang seorang yang
bercakap benar."
"Aku
telah diutuskan kepada kamu untuk memberi peringatan.
Sekiranya kamu ingkar terhadapnya, nescaya azab yang
dahsyat akan menimpa kamu," sabda Rasulullah.
Sambil
memerhati ke arah orang ramai di hadapannya, baginda menyeru
setiap kabilah yang hadir, "Wahai Bani Abdul Mutalib! Bani
Abdul Manaf! Bani Zahrah! Aku
telah diperintahkan oleh Allah untuk memberi peringatan kepada
kamu, dan aku tidak dapat melindungimu di dunia mahupun di
akhirat, kecuali kamu mengakui bahawa tiada tuhan lain yang
berhak disembah melainkan Allah."
Tiba-tiba
terdengar satu suara di kalangan orang ramai yang sedang
berkumpul itu.
"Apakah
kamu memanggil kami ke sini untuk tujuan ini?" Itulah suara
Abu Lahab, bapa saudara baginda.
Abu
Lahab dan ketua-ketua kabilah yang lain pun meninggalkan tempat
tersebut dengan perasaan kesal dan marah. Mereka berpendapat
Rasulullah hanya merugikan masa mereka sahaja dengan perkara
yang dianggap remeh.
Selama
tiga tahun Rasulullah berusaha untuk meyakinkan sesiapa saja
yang ditemuinya akan kebenaran risalah yang dibawanya. Malangnya
jumlah mereka yang menerima Islam terlalu sedikit berbanding
dengan penduduk-penduduk
Makkah ketika
itu. Kebanyakan daripada orang-orang yang menerima Islam
itu pula terdiri daripada orang-orang yang miskin.
Pada
mulanya, ketua-ketua puak yang kafir tidak mengambil tahu sangat
tentang dakwah Rasulullah. Mereka menyangka Rasulullah tidak
akan dapat mempengaruhi orang ramai. Tetapi lama-kelamaan,
apabila dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah mula mendapat
pengaruh yang besar, baharulah mereka mula merasakan kedudukan
mereka tergugat.
Pada
suatu hari ketua-ketua puak ini pergi menemui Abu Talib, bapa
saudara Rasulullah.
"Wahai
Abu Talib! Anak saudara kamu mencaci tuhan-tuhan kami,
menyalahkan cara hidup kami dan menghina agama dan nenek moyang
kami; sekarang ini sama ada kamu menghalangnya atau membenarkan
kami menghadapinya. Kedudukan engkau pun seperti kami,
sekiranya engkau
benarkan, kami
akan menyingkirkannya daripada kamu," kata mereka.
Abu
Talib menjawab dengan lemah lembut. Tidak lama kemudian beliau
memanggil Rasulullah.
"Jagalah
diriku dan dirimu dan janganlah meletakkan beban yang tidak
dapat aku tanggung," kata Abu Talib.
"Wahai
bapa saudaraku, demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari
di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku
meninggalkan dakwah ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya.
Bagiku, sama
ada aku diberi kemenangan oleh Allah atau aku mati semasa
menjalankan dakwah ini," sabda Rasulullah.
Rasulullah
bangun untuk meninggalkan bapa saudaranya. Tiba-tiba bapa
saudaranya memanggilnya sambil berkata: "Pergilah dan
lakukanlah apa yang engkau sukai. Demi Tuhan, aku akan
melindungi kamu."
Orang-orang
Quraisy mula mencaci Rasulullah. Kadang-kadang mereka membaling
benda-benda kotor ke arah Rasulullah. Pada suatu hari, ketika
Rasulullah sedang bersembahyang di hadapan Kaabah, Uqbah bin Abu
Muayt mengambil serbannya lalu dibuatnya seperti seutas tali.
Kemudian dia menjerut leher Rasulullah. Apabila Rasulullah
sujud, Uqbah menjerut baginda dengan
lebih kuat.
Tetapi Rasulullah
terus bersembahyang dengan tenang. Tiba-tiba
Abu Bakar ternampak perbuatan Uqbah itu. Beliau menolak Uqbah
dan berkata kepadanya:
"Apakah
kamu akan membunuh seseorang hanya kerana dia berkata:
Tuhanku ialah Allah,
dan telah datang tanda-tanda yang nyata bagi kamu?"
Apabila
kaum Quraisy mengetahui
bahawa Abu Talib tidak mematuhi kehendak mereka, mereka pun
menyusun satu rancangan untuk menyeksa Rasulullah dan
sahabat-sahabatnya. Mereka menjaga kawasan di sekeliling Kaabah
yang merupakan pusat penyembahan berhala daripada diambil alih
oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya.
Hari
demi hari penentangan terhadap dakwah Rasulullah di Makkah
semakin bertambah. Rasulullah terpaksa mencari tempat lain untuk
berdakwah. Dengan ditemani oleh Zaid bin Harithah, baginda pergi
ke Taif. Baginda berjumpa dengan ketua kabilah di sana. Tetapi
harapan baginda tidak tercapai kerana penduduk-penduduk Taif
tidak mahu menerima dakwahnya.
Sementara
itu, sahabat-sahabat Rasulullah diseksa dengan berbagai-bagai
cara. Ada yang dipukul dengan cemeti, diletakkan batu di atas
badan, dibaringkan di atas padang pasir yang panas membahang,
diselar dengan paku panas, diselamkan di dalam air yang panas
dan kadang-kadang diikat sambil diseret di sekeliling bandar
Makkah. Namun seksaan-seksaan itu tidak melemahkan iman mereka.
Memandangkan
keadaan ini,
Rasulullah memerintahkan
sahabat-sahabatnya berhijrah
ke Habsyah kerana di sana terdapat seorang raja yang
sangat adil bernama Najasyi.
Beberapa
orang Islam pun mula berhijrah ke Habsyah. Mereka ialah Uthman
bin Affan dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah, Abdul Rahman
bin Auf, Zubair bin Awwam, Abu Huzaifah dan isterinya, Mus'ab
bin Umair, Abu Salamah dan isterinya Ummu Salamah, Uthman bin
Mazun, Amir bin Rabiah dan isterinya Suhail bin Baida, Abu Sabra
dan anaknya Amir dan Hatib bin Amin.
Raja
Najasyi menyambut kedatangan mereka dengan baik dan mereka
tinggal di Habsyah dengan aman.
Pada
suatu hari dua orang utusan Quraisy telah datang membawa
bermacam-macam hadiah untuk Raja Najasyi,
pembesar-pembesar negeri
dan kaum
kerabatnya. Utusan
Quraisy itu
telah dapat
mempengaruhi sebahagian daripada mereka dengan hadiah-hadiah
tersebut. Tetapi Raja Najasyi ingin mendengar hujah daripada
kedua-dua belah pihak. Beliau memanggil orang-orang Islam dan
utusan Quraisy tersebut untuk menghadapnya.
Utusan-utusan
Quraisy memberitahu raja Najasyi bahawa orang-orang Islam
tersebut mestilah diserahkan kembali kepada mereka. Alasannya
adalah kerana ketua mereka telah meninggalkan agama nenek moyang
kaum Quraisy dan sedang menyebarkan satu agama baru yang juga
berbeza dengan agama raja Najasyi.
Raja
Najasyi memanggil pula orang-orang Islam untuk mengemukakan
hujah mereka. Jaafar bin Abu Talib bangun lalu menerangkan
ajaran yang terkandung di dalam agama Islam yang dibawa oleh
Rasulullah.
Raja
Najasyi sangat kagum dengan penjelasan yang diberikan oleh
Jaafar bin Abu Talib. Beliau menyuruh Jaafar membaca beberapa
ayat al-Quran. Jaafar pun membaca
sebahagian daripada
permulaan surah
Maryam.
Apabila
Raja Najasyi mendengar ayat-ayat tersebut, beliau menangis dan
yakin bahawa kaum muslimin adalah benar. Raja Najasyi pun
menyuruh dua orang utusan tersebut pulang.
Pada
suatu ketika,
Rasulullah dan
kaum keluarganya dipulaukan oleh orang-orang Quraisy.
Mereka hidup di suatu kawasan di luar Makkah dan terpisah
daripada masyarakat Makkah. Tiada sesiapa pun dibenarkan berjual
beli dengan mereka dan mereka juga dilarang berkahwin dengan
orang lain. Makanan begitu sedikit sekali, dan yang paling
menyedihkan adalah keadaan kanak-kanak yang tidak menentu makan
mereka. Kadang-kadang mereka terpaksa memakan daun-daun kayu.
Akhirnya
terdapat di antara puak-puak Quraisy yang tinggal di Makkah dan
masih mempunyai hubungan kekeluargaan
dengan Rasulullah
meminta agar
pemulauan tersebut dihentikan. Walaupun Rasulullah dan kaum
keluarganya dipisahkan namun mereka tidak sedikit
pun menunjukkan
tanda-tanda untuk
meninggalkan agama Islam yang suci.
Tidak
beberapa lama selepas peristiwa tersebut, Rasulullah telah
kehilangan dua orang insan yang amat disayanginya, mula-mula
bapa saudaranya Abu Talib, kemudian isterinya Khadijah meninggal
dunia. Sebelum Abu Talib
meninggal dunia,
Rasulullah cuba
memujuknya memeluk Islam, tetapi baginda tidak berjaya. Tahun
tersebut dikenali sebagai Tahun Sedih.
Walau
bagaimanapun Rasulullah tetap berdakwah. Tidak lama kemudian,
dua orang yang berpengaruh di dalam masyarakat Quraisy, iaitu
Hamzah bin Abu Talib dan Umar Al-Khattab telah memeluk Islam.
Pada
suatu malam, ketika Rasulullah sedang tidur, tiba-tiba Jibril
datang. Jibril menghampiri baginda dan membelah dadanya. Jibril
membasuh hati Rasulullah dengan air zamzam. Kemudian dibawanya
sebuah talam emas yang penuh dengan hikmah dan keimanan lalu
dituangkannya ke dalam dada baginda. Kemudian Jibril menutupnya
kembali.
Jibril
membawakan Rasulullah sejenis binatang bernama Buraq. Ia
seakan-akan seekor keldai berwarna putih.
Ia bergerak
sangat pantas.
Rasulullah menunggang Buraq hingga ke Baitul Maqdis. Di
sana baginda berhenti di sebuah masjid dan menambatnya di sebuah
gelang. Di gelang itulah biasanya nabi-nabi terdahulu menambat
kenderaan mereka. Rasulullah memasuki masjid tersebut dan
mendirikan sembahyang sunat dua rakaat dengan menjadi imam
kepada nabi-nabi terdahulu.
Selepas
itu Jibril membawa kepada Rasulullah dua biji gelas, satu berisi
arak dan satu berisi susu, lalu baginda memilih susu.
"Engkau
telah memilih yang sesuai dengan fitrah," kata Jibril.
Kemudian
Jibril membawa Rasulullah ke langit dengan menaiki Buraq.
Di
langit pertama, Jibril telah menyeru kepada malaikat yang
menjaganya: "Bukalah!"
"Siapakah
engkau?" tanya malaikat tersebut.
"Aku
Jibril."
"Adakah
engkau membawa kawan?" tanya malaikat tersebut.
"Aku
bersama-sama Muhammad," jawab Jibril.
"Sudahkah
dia dilantik menjadi rasul," tanya malaikat tersebut.
"Ya,"
jawab Jibril.
Malaikat
itu pun membuka pintu langit pertama.
Rasulullah
telah melihat kelompok-kelompok roh manusia dan telah menemui
Nabi Adam. Seterusnya baginda dibawa ke langit yang lain dan
bertemu dengan Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Ibrahim dan lain-lain.
Kemudian
baginda dibawa ke sidaratulmuntaha dan ditunjukkan Baitul Makmur
yang menjadi Kaabah bagi malaikat. Setiap hari 70,000 malaikat
akan mengelilinginya. Setiap malaikat dapat mengelilinginya
hanya sekali hinggalah hari kiamat kelak.
Selepas
itu Rasulullah dibawa melihat syurga dan neraka. Di sini Jibril
berhenti. Rasulullah telah berbicara dengan Allah dan
dikurniakan 50 waktu sembahyang sehari semalam untuk umatnya.
Sekembalinya dari sana, baginda bertemu Nabi Musa lalu
memberitahunya bahawa Allah telah menetapkan sembahyang sebanyak
50 waktu ke atas umatnya. Nabi Musa menyuruh Rasulullah meminta
dikurangkan jumlah tersebut. Menurut Nabi Musa, umatnya Bani
Israil pun tidak sanggup melakukan yang sedemikian.
Rasulullah
kembali kepada Allah dan menyatakan hasratnya. Allah s.w.t.
telah mengurangkan sembahyang tersebut sebanyak 5 waktu,
menjadikannya jumlahnya 45. Apabila baginda bertemu Nabi Musa
sekali lagi, baginda disuruh memohon supaya jumlah tersebut
dikurangkan lagi. Begitulah seterusnya sehinggalah Allah
mengurangkannya kepada 5 waktu. Nabi Musa masih menyuruh baginda
meminta dikurangkan lagi, tetapi Rasulullah berkata kepadanya:
"Aku
berasa malu untuk memohon pengurangan lagi daripada Allah. Aku
menerima 5 waktu ini. Allah memberi ganjaran 5 waktu ini sama
nilainya dengan 50 waktu."
Rasulullah
kembali ke Makkah pada malam tersebut juga. Peristiwa ini
dikenali sebagai Israk dan Mikraj. Kisah perjalanan ini telah
sampai kepada orang-orang musyrikin Quraisy. Mereka merasakan
itulah peluang untuk memperolok-olokkan Islam. Mereka bertanya
kepada Rasulullah bermacam-macam soalan mengenai sifat-sifat
masjid di Baitul Maqdis dengan harapan baginda tidak dapat
menjawab. Pada sangkaan mereka Rasulullah hanya membuat-buat
cerita tersebut kerana untuk sampai ke Baitul Maqdis mengambil
masa beberapa hari, sedangkan Rasulullah mengatakan bahawa
baginda pergi dan balik pada hari yang sama. Alangkah
terkejutnya mereka apabila Rasulullah dapat menjawab
soalan-soalan mereka dengan tepat.
Orang-orang
Quraisy pergi menemui Abu Bakar dan bertanya sama ada beliau
percaya apa yang dikatakan oleh Rasulullah itu. Tanpa ragu-ragu
Abu Bakar mengiakan segala apa yang diceritakan oleh Rasulullah.
Abu Bakar berkata: "Ya, aku bersedia untuk mempercayai
peristiwa-peristiwa yang lebih hebat daripada itu."
Orang-orang
musyrikin Quraisy sekali lagi terasa terhina kerana rancangan
mereka tidak berjaya. Dari situlah Abu Bakar mendapat gelaran
As-Siddiq yang bermaksud orang yang membenarkan atau mengiakan
kebenaran.
Pada
musim haji, Rasulullah akan berdakwah kepada kabilah-kabilah
yang berkhemah di Makkah dan Mina. Tetapi usaha-usaha dakwah
Rasulullah tidaklah semudah itu kerana Abu Lahab sentiasa
mengikutinya.
Pada
suatu hari baginda bertemu dengan sebuah kabilah dari Madinah.
Ahli-ahli kabilah tersebut pernah mendengar cerita mengenai
Rasulullah tetapi tidak pernah berjumpa dengan baginda. Akhirnya
mereka pun menerima dakwah Rasulullah. Apabila kembali ke
Madinah, mereka telah berjaya mengajak sebahagian besar orang
Arab di Madinah untuk menerima Islam.
Rasulullah
menggalakkan sahabat-sahabatnya
berhijrah ke Madinah kerana keadaan di sana lebih aman dan
tenteram. Dalam masa dua bulan, kesemua orang Islam telah
berhijrah kecuali Rasulullah, Abu Bakar As-Siddiq, Ali dan
mereka yang telah dipenjara oleh kaum musyrikin Quraisy atau
yang masih menjadi hamba. Berita ini menambahkan lagi kemarahan
kaum musyrikin Quraisy. Kini orang-orang Islam mempunyai suatu
tempat untuk mereka merancang serangan balas terhadap
orang-orang musyrikin Quraisy.
Abu
Jahal dan ketua-ketua kabilah yang lain mengambil keputusan
supaya Rasulullah dibunuh. Setiap kabilah diminta menghantar
seorang pemuda yang gagah, dan setiap seorang daripada mereka
akan menikam Rasulullah serentak. Dengan cara tersebut kesalahan
membunuh itu akan ditanggung oleh semua pihak yang ada.
Rancangan
untuk membunuh baginda diketahui oleh Rasulullah dengan turunnya
wahyu menerusi malaikat Jibril. Tetapi pada ketika itu Allah
s.w.t. masih belum mengizinkan Rasulullah untuk berhijrah. Walau
bagaimanapun,
Abu Bakar As-Siddiq telah menyediakan dua ekor unta yang sihat
dan dapat bergerak pantas. Abu Bakar As-Siddiq memberi jagaan
yang paling sempurna agar unta-unta tersebut dapat mengharungi
perjalanan yang jauh.
Setelah
empat bulan, tiba-tiba pada suatu hari Rasulullah datang ke
rumah Abu Bakar As-Siddiq. Baginda memberitahu Abu Bakar
As-Siddiq bahawa Allah s.w.t. telah mengizinkannya berhijrah.
Abu Bakar As-Siddiq menangis menerima berita tersebut dan
menawarkan Rasulullah salah seekor unta yang disediakannya.
Rasulullah menerimanya dengan syarat baginda membayar harga unta
tersebut.
Asma',
anak Abu Bakar As-Siddiq menyediakan makanan untuk perjalanan
tersebut. Orang-orang musyrikin
Makkah sentiasa
meneliti gerak-geri
Rasulullah. Pada suatu malam, iaitu waktu Rasulullah akan
berhijrah, mereka meletakkan pemuda-pemuda yang telah dipilih
untuk mengintai dan memastikan bahawa baginda masih berada di
dalam rumahnya.
Ketika
itu Rasulullah
masih menyimpan
barang-barang yang telah diamanahkan oleh orang lain kepadanya.
Baginda menyerahkan
barang-barang tersebut kepada Ali agar beliau
menyerahkannya kembali kepada orang-orang yang berkenaan.
Rasulullah
menyuruh Ali baring di tempat tidur baginda. Baginda mengambil
selimut berwarna hijau lalu menutup Ali dengannya. Rasulullah
memberi jaminan Allah s.w.t. kepada Ali bahawa beliau tidak akan
diapa-apakan oleh orang-orang musyrikin Makkah.
Selepas
itu Rasulullah pun bersedia untuk keluar dari rumah tersebut.
Baginda membaca ayat al-Quran dan mencampakkan pasir ke arah
pemuda-pemuda Quraisy yang sedang menunggu di luar. Kemudian
baginda lalu di hadapan mereka tanpa disedari oleh sesiapa pun.
Pemuda-pemuda
tersebut berada di tempat masing-masing hinggalah waktu Subuh.
Apabila mereka merempuh masuk ke rumah baginda, mereka mendapati
Ali yang sedang berbaring dan bukannya Rasulullah. Suasana pagi
itu riuh dengan berita kehilangan Rasulullah.
Seperti
yang dirancangkan, Rasulullah dan Abu Bakar pergi ke arah
selatan menuju ke kawasan yang berbukit-bukau. Mereka
bersembunyi di sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Tur. Sebelum
Rasulullah memasuki gua tersebut, Abu Bakar As-Siddiq terlebih
dahulu meninjau-ninjau
keadaan di
dalamnya dan
membersihkannya.
Mereka
tinggal di dalam gua tersebut selama 3 malam. Abdullah, anak Abu
Bakar pergi menemui mereka selepas Maghrib dan memberitahu
mereka keadaan di Makkah. Pada ketika yang lain, Amir bin
Fuhairah bersama
beberapa orang
penggembala membawakan susu untuk mereka berdua.
Pemimpin-pemimpin
Quraisy telah menawarkan hadiah yang lumayan kepada sesiapa
sahaja yang dapat menangkap Rasulullah. Ramai yang menyahut
tawaran itu. Ada di antara mereka yang pernah sampai di hadapan
gua Tur. Abu Bakar berasa begitu takut sekiranya mereka dapat
mengesan kehadiran beliau dan Rasulullah di dalam gua tersebut.
"Wahai
Abu Bakar! Apakah yang kamu rasa jika ada dua orang dan yang
ketiganya adalah Allah?" tanya Rasulullah, cuba menenangkan
perasaan Abu Bakar As-Siddiq.
Selepas
tiga hari, Abdullah bin Arqat datang. Beliau telah diamanahkan
oleh Abu Bakar As-Siddiq untuk menunjukkan jalan ke Madinah.
Abdullah memberitahu mereka berdua bahawa orang-orang di Makkah
seolah-olah telah berputus asa. Itulah masa untuk mereka
meneruskan peijalanan.
Mereka pun
menunggang unta dan mula berangkat menuju ke Madinah.
Pemimpin-pemimpin
Quraisy masih tidak berpuas hati. Mereka membuat tawaran baru,
iaitu hadiah 100 ekor unta untuk sesiapa yang dapat menangkap
Rasulullah. Suraqah bin Malik mendapat berita mengenai kumpulan
Rasulullah yang sedang di dalam perjalanan
itu. Dengan
senyap-senyap, Suraqah
menunggang kudanya dan mengejar kumpulan tersebut.
Apabila
Suraqah hampir dengan Rasulullah, tiba-tiba kudanya terjatuh
lalu dia terhumban ke hadapan. Suraqah cepat-cepat menunggang
kudanya kembali. Tetapi sekali lagi kudanya terjatuh. Abu Bakar
ketakutan. Dengan tenang Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya
Allah bersama-sama kita."
Suraqah
merasakan bahawa itu suatu amaran daripada Allah s.w.t.
terhadapnya. Suraqah menghampiri Rasulullah dan memohon ampun
daripada baginda. Rasulullah dengan rela hati memaafkannya.
Kemudian
rombongan
Rasulullah meneruskan perjalanan mereka ke Madinah. Suraqah pun
kembali ke Makkah tanpa berkata apa-apa kepada orang-orang
Quraisy.
Pada
suatu pagi hari Jumaat, Rasulullah tiba di Madinah. Baginda
disambut dengan meriah oleh penduduk-penduduk Madinah. Tugas
pertama Rasulullah adalah membina sebuah masjid. Satu kawasan
yang sesuai telah dipilih. Kawasan tersebut telah dibeli
daripada dua orang anak yatim dengan harta sepuluh keping emas,
tetapi wang itu kemudiannya disedekahkan semula kepada masjid.
Kemudian Rasulullah dan kaum muslimin
mendirikan sembahyang
Jumaat yang
diimamkan sendiri oleh baginda.
Rasulullah
telah mempersaudarakan orang-orang Islam dari Makkah yang lebih
dikenali sebagai Muhajirin dengan orang-orang Madinah yang
dikenali sebagai Ansar. Walaupun mereka baru sahaja bertemu
tetapi keimanan mereka terhadap Allah s.w.t. membuatkan mereka
sanggup berkorban dan menolong saudara seislam mereka. Ada di
kalangan orang-orang Ansar yang sanggup memberi harta, tempat
tinggal dan lain-lain kepada orang-orang Muhajirin. Kebanyakan
orang-orang Muhajirin itu berhijrah tanpa membawa apa-apa harta
pun.
Semakin
hari semakin ramai yang memeluk Islam. Rasulullah telah membuat
peijanjian dengan puak-puak kafir dan kaum Yahudi yang tinggal
berhampiran dengan Madinah. Mereka berjanji akan saling membantu
di dalam perkara-perkara yang baik dan saling menjamin
keselamatan masing-masing sekiranya mereka diserang oleh
mana-mana pihak dari luar.
Di
Madinah, Rasulullah tinggal bersama-sama isterinya Saudah dan
dua orang anak perempuannya, Fatimah dan Ummi Kalthum. Kemudian
Abu Bakar dan isterinya menawarkan anak mereka, Aisyah untuk
dikahwini oleh Rasulullah. Baginda menerimanya dengan hati yang
terbuka. Ketika itu, Aisyah baru berumur 9 tahun.
Orang-orang
musyrikin Quraisy sangat marah apabila mendapat tahu bahawa
Rasulullah selamat tiba di Madinah. Mereka mengawasi setiap
orang Islam yang masih tinggal di Makkah. Kebanyakannya adalah
wanita dan hamba-hamba. Orang-orang Islam terus diseksa tanpa
belas kasihan.
Kafilah-kafilah
pedagang dari Makkah mengambil kesempatan untuk menyebarkan
khabar-khabar angin dan fitnah terhadap orang-orang Islam.
Sasaran utama mereka ialah kabilah-kabilah kafir di sekitar
Madinah. Rasulullah mendapat tahu tentang tindakan jahat
tersebut. Baginda menghantar pasukan-pasukan kecil untuk
menakutkan orang-orang musyrikin Makkah serta membuktikan kepada
mereka bahawa orang-orang Islam mempunyai kekuatan untuk
menentang mereka.
Pada
suatu hari, sebuah kafilah dagangan Makkah yang diketuai oleh
Abu Sufian telah menghampiri Madinah. Rasulullah telah membentuk
sebuah pasukan kecil dan mengetuai sendiri pasukan tersebut.
Baginda keluar untuk menghalang perjalanan kafilah Abu Sufian.
Berita ini telah sampai kepada Abu Sufian lalu dia membawa
kafilahnya mengikut jalan lain berhampiran Laut Merah. Abu
Sufian sangat takut diserang oleh orang Islam. Dia menghantar
seorang utusan ke Makkah untuk memberitahu orang-orang Quraisy
di sana bahawa Rasulullah sendiri ingin menawan kafilahnya.
Utusan
tersebut sampai di Makkah dalam keadaan tergesa-gesa sambil
berteriak:
"Tolong!
Tolong! Wahai orang-orang Quraisy! Barang dagangan kamu yang
dibawa oleh Abu Sufyan telah ditawan oleh Muhammad dan
sahabat-sahabatnya. Aku tak tahu apa yang akan terjadi kepada
mereka."
Berita
tersebut menyebabkan orang-orang Makkah bersiap sedia untuk
berperang. Seramai 1000 orang askar dengan 700 ekor unta dan
kuda diketuai oleh Abu Jahal berangkat menuju ke Madinah. Berita
tersebut telah sampai kepada Rasulullah. Baginda memanggil
sahabat-sahabatnya untuk membincangkan masalah yang sedang
mereka hadapi bersama. Kesemua sahabat baginda memberi jaminan
bahawa mereka akan berperang dan melindungi Rasulullah. Mereka
sedikit pun tidak gentar untuk menghadapi tentera musyrikin
Quraisy. Apa yang mereka inginkan ialah pahala syahid dijalan
Allah s.w.t.
Rasulullah
sangat gembira dan bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas sikap
yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabatnya itu. Mereka mempunyai
pengalaman berperang dan keyakinan mereka kepada Allah
membuatkan mereka lebih yakin untuk mengalahkan musuh.
Setelah
keputusan dicapai,
Rasulullah dan
sahabat-sahabat baginda bersiap sedia dengan apa sahaja
kelengkapan yang ada. Setelah siap mereka pun bergerak keluar
dari Madinah menuju ke arah musuh yang sedang mara. Di suatu
tempat bernama Badar, tentera kedua-dua belah pihak bertemu.
Sebelum
memulakan perang, tentera Islam telah berkhemah di suatu kawasan
yang mempunyai mata air. Sepanjang malam Rasulullah mendirikan
sembahyang tahajud dan berdoa kepada Allah s.w.t. Kebanyakan
tentera Islam tidur disebabkan keletihan, dan ia merupakan
sesuatu yang perlu untuk menghadapi peperangan pada keesokan
harinya.
Pada
waktu subuh
Rasulullah mengimami
sembahyang lalu memberi perangsang agar mereka berperang
semata-mata kerana Allah s.w.t.
Sebaik sahaja matahari terbit Rasulullah pun menyusun
tenteranya.
Apabila
tentera kedua-dua belah pihak telah bersedia, Utbah bin Rabia,
Saybah dan Al-Walid bin Utbah maju ke hadapan bagi pihak
musyrikin Quraisy.
Kemudian
Auf bin Harith, Muawiyah bin Harith dan Abdullah bin Rawahah
pula tampil bagi pihak tentera Islam. Tetapi kesemua mereka
adalah orang-orang Ansar.
Orang-orang
musyrikin Quraisy berteriak bahawa mereka mahu berhadapan dengan
orang-orang dari Makkah, sambil menyindir dan mencabar
keberanian mereka. Rasulullah memerintahkan supaya Ubaidah bin
Harith, Hamzah bin Abdul Mutalib dan Ali bin Abu Talib mara ke
hadapan.
Pertempuran
pun bermula. Hamzah telah membunuh Saybah dan Ali
membunuh Al-Walid. Ubaidah tercedera parah. Hamzah dan Ali dapat
menyelamatkan Ubaidah dan Hamzah menghayun pedangnya hingga
putus kepala Utbah.
Kemudian
kedua-dua tentera mara ke hadapan. Rasulullah memerintahkan
tentera Islam supaya tidak menyerang sehingga baginda memberi
isyarat.
Tidak
lama kemudian pertempuran yang sengit pun bermula. Walaupun
tentera musyrikin Quraisy ramai, mereka tidak dapat mengalahkan
tentera Islam. Sepanjang pertempuran,
Rasulullah berdoa
dan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t. Sambil
mengambil segenggam tanah, Rasulullah berdoa dan melemparkannya
ke arah musuh.
Tiba-tiba
ribut pasir terjadi dan menyerang tentera musyrikin. Debu serta
pasir masuk ke dalam mata mereka. Dalam keadaan musuh yang kelam
kambut itu tentera Islam telah mengambil kesempatan untuk
membunuh seramai 49 orang tentera musuh. Pada akhirnya tentera
Islam telah mencapai kemenangan. Hanya 14 orang daripada tentera
Islam syahid di medan perang. Ada di antara tentera musuh telah
ditawan. Di antara tentera musuh yang dibunuh ialah Abu Jahal.
Tawanan-tawanan
perang telah dibawa pulang ke Madinah. Ada di antara mereka
dibebaskan apabila kaum kerabat mereka membayar wang tebusan
kepada orang-orang Islam. Ada juga tawanan yang boleh membaca
dan menulis tetapi tidak ada wang untuk membayar wang tebusan,
orang-orang yang seperti itu disuruh mengajar anak-anak orang
Islam sehingga mereka pandai menulis dan membaca. Tawanan yang
benar-benar miskin dibebaskan tanpa syarat. Dengan layanan yang
baik itu, ada di antara tawanan-tawanan tersebut yang memeluk
Islam.
Kemenangan
di Badar sangat bermakna kepada orang-orang Islam. Sekiranya
tentera Islam kalah kemungkinan seluruh penduduk Madinah akan
dibunuh dan akan terhapuslah Islam di muka bumi ini. Selepas
peperangan ini kaum musyrikin Quraisy tidak berdiam diri. Mereka
terus melancarkan peperangan-peperangan yang lain seperti di
Uhud, Khandaq dan Tabuk untuk menuntut bela, tetapi setiap kali
itu mereka ditewaskan oleh tentera Islam.
Rasulullah
juga menghadapi masalah dengan orang-orang
munafik, iaitu
orang-orang yang
berpura-pura menjadi
Islam. Mereka
menghasut orang-orang Islam supaya meninggalkan Islam
dengan menyebarkan berbagai-bagai fitnah terhadap Rasulullah dan
orang-orang Islam yang lain. Mereka juga mengadakan pakatan
dengan orang-orang musyrikin Makkah untuk menghancurkan Islam.
Tetapi helah mereka diketahui oleh Rasulullah kerana baginda
menerima wahyu daripada Allah s.w.t. Ketua munafik pada ketika
itu ialah Abdullah bin Ubai. Akhirnya orang-orang musyrikin
Makkah dan orang-orang munafik tidak berdaya melawan kekuatan
kaum muslimin.
Pada
10 Ramadan Rasulullah berangkat ke Makkah bersama-sama 10,000
orang tentera Islam. Mereka berjaya memasuki kota Makkah tanpa
berperang dengan orang-orang musyrikin Quraisy. Rasulullah
memasuki kota Makkah sambil menundukkan kepalanya. Baginda
berbuat demikian sebagai tanda tawaduk dan bersyukur, bukannya
megah dengan kemenangan tersebut.
Baginda
memerintahkan supaya berhala-berhala yang ada di sekeliling
Kaabah dipecahkan. Kemudian baginda menyuruh Bilal bin Rabah
melaungkan azan dari atas bangunan Kaabah.
Dengan
itu, Islam telah tertegak di bumi Makkah selepas diusir
bertahun-tahun dahulu. Baginda tidak menetap di Makkah tetapi
kembali ke Madinah. Baginda terus memimpin kaum muslimin
sehinggalah wahyu Allah s.w.t. selesai diturunkan seperti yang
terkandung di dalam al-Quran.
Pada
akhir-akhir hayat Rasulullah, baginda hanya berehat di rumahnya.
Keadaan baginda semakin hari semakin lemah. Ketika itu umur
baginda sudah 63 tahun. Pada suatu hari Isnin, 12 Rabiulawal
baginda bangun sambil menggosok
giginya. Baginda
memandang menerusi tirai sambil mengukir senyuman kepada
sahabat-sahabatnya yang telah berhari-hari berkumpul. Mereka
sentiasa berdoa agar Rasulullah sihat kembali. Tiba-tiba
Rasulullah mengucapkan:
"Ya
Allah! Kekasih yang paling tinggi!" Baginda rnengulanginya
sebanyak tiga kali. Kemudian baginda meletakkan kepalanya di
atas riba isterinya Aisyah lalu baginda pun wafat. Para sahabat
amat sedih dengan kewafatan baginda sehinggakan ada di antara
mereka yang tidak mahu menerima hakikat bahawa baginda telah
wafat. Ketika itu bangunlah Abu Bakar As-Siddiq, mengingatkan
mereka dengan kata-katanya:
"Wahai
manusia! Barangsiapa
menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad sudah wafat.
Tetapi barangsiapa menyembah Allah, Allah hidup dan tidak pernah
mati."
Kemudian
Abu Bakar As-Siddiq membaca firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Muhammad
hanyalah seorang rasul. Sebelum dia, telah banyak rasul-rasul
yang lain. Apabila dia mati atau terbunuh, apakah kamu akan
berbalik ke belakang? Barangsiapa berbalik ke belakang, dia
tidak akan merugikan Allah sedikit pun.
Dan Allah akan memberikan
balasan kepada
orang-orang yang
bersyukur."
Orang
ramai yang mendengar peringatan Abu Bakar As-Siddiq terpegun
sebentar seolah-olah tidak pernah mendengar ayat yang beliau
telah bacakan. Lama-kelamaan barulah mereka sedar dan insaf akan
perbuatan mereka. Perbuatan mereka itu hanyalah didorong oleh
perasaan kasih yang amat sangat terhadap Rasulullah.
Bagindalah yang
selama ini
telah membimbing mereka dari jalan neraka ke jalan
syurga.
Rasulullah
adalah contoh terbaik yang telah diutuskan Allah kepada manusia
sehinggalah hari kiamat. Firman Allah di dalam surah Al-Anzab
ayat 21 bermaksud:
"Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu
bagi orang yang mengharapkan balasan Allah dan kedatangan hari
kiamat, dan
mereka mengingati
Allah dengan
sebanyak-banyaknya."
-TAMAT-
|