NABI ADAM (pertama)

 

Penciptaan langit dan bumi, manusia, binatang dan seluruh alam ini adalah tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. didalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 90 dan surah Al-Mulk ayat 19 yang bermaksud:

"Sesungguhnya didalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal."

" Dan apakah mereka tidak memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya diatas mereka? Tidak ada yang menahannya diudara selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu."

Sebelum mencipta Nabi Adam, Allah s.w.t. telah mencipta dua makhluk lain iaitu malaikat dan jin. Malaikat dicipta daripada cahaya dan jin daripada api. Kehidupan malaikat tidak seperti manusia. Mereka tidak perlu makan, minum dan sebagainya seperti manusia. Hidup mereka hanya untuk beribadat kepada Allah s.w.t. dan menunaikan perintah-Nya tanpa bantahan sedikit pun.

Jin pula adalah makhluk yang memerlukan apa yang diperlukan oleh manusia tetapi mereka tidak boleh dilihat oleh manusia kecuali didalam keadaan-keadaan tertentu sahaja.

Nabi Adam adalah manusia yang pertama dicipta daripada tanah oleh Allah s.w.t. Ketika Allah s.w.t. hendak mencipta Nabi Adam, para malaikat telah berkata, "Mengapakah engkau hendak menjadikan dibumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan menyucikan Engkau?"

Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui," firman Allah.

Allah s.w.t. mengajar Nabi Adam nama-nama benda. Kemudian Allah berfirman kepada malaikat, "Sebutlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar!"

"Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana," jawab malaikat.

"Hai Adam, beritahulah kepada mereka nama-nama benda ini," firman Allah s.w.t. Nabi Adam pun memberitahu satu persatu nama-nama benda yang diajar oleh Allah s.w.t. tadi.

"Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" firman Allah s.w.t. lagi.

Allah s.w.t. memerintahkan semua makhluk sujud kepada Nabi Adam sebagai tanda hormat kepadanya. Mereka pun sujud kecuali Iblis.

"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepad Adam pada waktu Aku menyuruhmu?" firman Allah kepada Iblis.

"Aku lebih baik daripadanya; Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah," jawab Iblis dengan sombong.

"Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri di dalamnya. Keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina," perintah Allah s.w.t.

"Berilah aku kesempatan sampai waktu mereka dibangkitkan," kata Iblis kepada Allah s.w.t.

"Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi kesempatan," firman Allah s.w.t.

"Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalangi mereka daripada jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur." kata Iblis lagi.

"Keluarlah kamu dari syurga ini sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa diantara mereka mengikuti kamu, Aku akan mengisi mereka didalam neraka Jahanam bersama-sama kamu semua," firman Allah s.w.t.

Setelah mencipta Nabi Adam, Allah s.w.t. telah mencipta isterinya yang bernama Hawa. Hawa telah dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam. Allah s.w.t. telah berfirman kepada Nabi Adam,

"Hai Adam, tinggallah kamu dan isterimu didalam syurga, serta makanlah olehmu berdua buah-buahan yang mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon itu. Sekiranya berlaku maka jadilah kamu berdua orang-orang yang zalim."

Nabi Adam dan isterinya Hawa tinggal didalam syurga dengan penuh kemewahan dan kenikmatan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Tetapi syaitan yang memang sifatnya yang suka menghasut orang melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar amat benci melihat keadaan Nabi Adam dan isterinya Hawa yang hidup gembira. Syaitan pun merancang untuk menyesatkan Nabi Adam dan Hawa. Hari demi hari syaitan mengatur rancangannya sambil menyuruh Nabi Adam dan Hawa mendekati pohon yang dilarang oleh Allah s.w.t. itu dengan berkata,

"Tuhan kamu tidak melarangmu mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal didalam syurga."

Pada suatu hari Nabi Adam dan Hawa telah terpesona dengan bisikan syaitan sehinggalah mereka lupa akan perintah Allah s.w.t. Mereka memakan buah daripada pohon tersebut dan dengan serta merta nampaklah aurat mereka. Mereka pun segera menutupinya dengan daun-daun didalam syurga.

Tiba-tiba kedengaran firman Allah s.w.t, "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua mendekati pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?"

Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau telah mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pastilah kami termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi," kata Nabi Adam.

"Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat tinggal dan tempat mencari rezeki di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan, "firman Allah s.w.t.

"Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu pula kamu akan dibangkitkan, " firman Allah s.w.t. lagi.

Nabi Adam dan Hawa pun diturunkan dari syurga ke bumi dimana mereka menempuh suatu kehidupan yang amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan syurga.

Setelah beberapa lama Nabi Adam dan Hawa tinggal di bumi, mereka telah dikurniakan dua pasang anak kembar. Setiap pasang adalah lelaki dan perempuan. Seorang daripada anak lelaki itu dinamakan Qabil dan seorang lagi Habil. Setelah anak-anak mereka dewasa, tibalah masanya untuk mereka berkahwin. Menurut syariat Nabi Adam pada masa itu, tidak boleh dijodohkan saudara sekembar. Oleh itu Qabil hendaklah dijodohkan dengan kembar Habil dan sebaliknya. Walaubagaimanpun Qabil kurang bersetuju kerana kembar Habil kurang cantik.

Perkara ini telah diketahui oleh Nabi Adam. Baginda menyuruh Qabil dan Habil membuat korban untuk Allah s.w.t. Sesiapa diantara mereka yang diterima korbannya oleh Allah s.w.t., dia lah yang berhak dijodohkan dengan kembar Qabil. Qabil dan Habil pun melaksanakan perintah ayah mereka. Allah s.w.t telah menerima korban Habil kerana beliau melakukannya ikhlas kerana-Nya.

Namun Qabil tetap tidak puas hati hingga beliau ingin membunuh Habil. Habil telah mengetahui niat jahat Qabil itu lalu beliau berkata kepada Qabil dengan cara yang sopan, "Sesungguhnya korban yang diterima oleh Allah adalah korban orang yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t. Kalau engkau mengangkat tangan untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan mempunyai rasa iri hati untuk membunuhmu, kerana aku takut kepada Allah s.w.t.

Syaitan yang mengetahui niat jahat Qabil telah mengambil kesempatan untuk mempengaruhi Qabil dan akhirnya beliau membunuh Habil. Setelah itu Qabil menyesal dan beliau merasa binggung apa yang hendak dibuat dengan mayat Habil dihadapannya itu.

Tiba-tiba Allah s.w.t. memperlihatkan kepada Qabil dua ekor burung gagak yang sedang berkelahi dan akhirnya seekor terbunuh. Burung gagak yang masih hidup itu menggali sebuah lubang. Kemudian ia menolak bangkai burung gagak yang mati tadi ke dalam lubang tersebut dan menimbusnya dengan tanah.

"Aduhai, celaka aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudarku ini?" kata Qabil didalam hatinya.

Qabil pun menguburkan mayat Habil, dan beliau menjadi pembunuh yang pertama dia atas muka bumi ini. Nabi Adam dan Hawa seterusnya dikurniakan ramai lagi anak-anak kembar dan bermula dari situlah umat manusia berkembang biak hinggalah ke saat ini.

-TAMAT-

 

Nabi Ishak adalah anak kepada Nabi lbrahim. lbunya bernama Siti Sarah. Baginda dilahirkan di sebuah negeri bernama Syam. lbu dan ayahnya ketika itu sangat tua. Siti Sarah memang inginkan seorang anak sejak mula berkahwin dengan Nabi lbrahim. Beliau tetap berdoa dan Allah s.w.t telah mengabulkan doa beliau dengan kunjungan beberapa malaikat yang datang membawa berita gembira tersebut daripada Allah s.w.t.

Setelah dewasa Nabi Ishak telah berkahwin dan dikumiakan Allah dua orang anak bernama Ya'kub dan Is. Daripada anak-anak ini lahir pula nabi dan rasul yang lain. Allah s.w.t. memuliakan Nabi Ishak dengan firman-Nya dalam surah Saad ayat 45 hingga 47 yang bermaksud:

"Perhatikanlah kisah hamba-hamba kami, lbrahim, Ishak dan Ya'kub, sernuanya mempunyai kekuatan-kekuatan yang hebat dan ilmu-ilmu yang tinggi. Kami menyucikan mereka dengan menganugerahkan mereka akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan manusia kepada negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang
paling baik."

-TAMAT-