Nabi
Sulaiman adalah salah seorang anak Nabi Daud. Allah s.w.t.
mengurniakan beberapa kelebihan kepada Nabi Sulaiman. Baginda
boleh memerintahkan angin membawanya dari satu tempat ke satu
tempat yang lain. Oleh itu baginda dapat sampai ke sesuatu
tempat dalam waktu yang singkat. Selain daripada itu Allah s.w.t
juga memudahkan Nabi Sulaiman mendapat bantuan dan khidmat
daripada golongan jin yang kuat dan mahir.
Sejak
kecil lagi Nabi Sulaiman telah membuktikan kebijaksanannya. Pada
suatu hari, dua orang petani telali berselisih faham. Salah
seorang daripada petani tersebut memiliki kebun anggur yang
sedang berbuah dengan lebatnya. Sekawan kambing kepunyaan
seorang petani yang lain telah menceroboh masuk ke dalam kebun
anggur lalu
merosakkan buah-buah
anggur itu.
Pertengkaran berlaku di antara pemilik kebun anggur dengan
pemilik kambing tersebut. Pemilik kebun anggur menuntut ganti
rugi yang sewajarnya daripada pemilik kambing itu tetapi dia
enggan.
Akhirnya
mereka bersetuju untuk bertemu Nabi Daud
untuk mencari
penyelesaian. Nabi
Daud memutuskan bahawa kambing itu hendaklah diserahkan
kepada pemilik kebun anggur. Nabi Sulaiman yang ada ketika itu
merasakan hukuman yang dijatuhkan tidak tepat.
"Ayah,
bolehkah dikenakan hukuman yang lain daripada hukuman yang ayah
telah putuskan?" tanya Nabi Sulaiman kepada ayah, Nabi
Daud.
"Apakah
hukuman itu?" tanya Nabi Daud.
"Kebun
anggur itu diserahkan kepada pemilik kambing tersebut untuk
dijaga dan dipelihara sehingga pulih seperti asalnya. Kambing
itu pula diserahkan kepada pemilik kebun anggur itu untuk
dipelihara sebaik mungkin untuk
mendapatkan susu,
bulu dan
anak-pinaknya. Kemudian apabila sudah pulih seperti sediakala,
tanaman anggur itu dikembalikan kepada pemiliknya, dan kambing
itu dikembalikan kepada pemiliknya juga."
Setelah
mendengar pandangan anaknya itu, Nabi Daud pun bersetuju bahawa
hukuman yang dicadangkan oleh anaknya itu lebih tepat.
Setelah
dewasa Nabi Sulaiman dikurniakan oleh Allah s.w.t.
berbagai-bagai nikmat. Di antaranya ialah baginda dapat memahami
percakapan haiwan. Pada suatu hari Nabi Sulaiman menghimpunkan
bala tenteranya yang terdiri daripada jin, manusia dan burung.
Baginda kelihatan sungguh hebat dan gagah menunggang kuda di
barisan hadapan tenteranya. Pasukan tentera itu bergerak dengan
teratur dan tertib mengikut susunan yang ditetapkan oleh ketua
pasukan masing-masing.
Bala
tentera Nabi Sulaiman menghampiri sebuah lembah yang didiami
oleh semut. Semut-semut itu berasa bimbang
kalau-kalau mereka
akan dipijak
dan dibinasakan oleh beratus-ratus tapak kaki kuda bala
tentera itu.
Apabila
Nabi Sulaiman dan bala tenteranya sampai di lembah semut itu,
berkatakah seekor semut: "Hai semut-semut, masuklah ke
dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan
tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedarinya."
Nabi
Sulaiman dapat mendengar apa yang dikatakan oleh semut itu.
Baginda tersenyum sambil berdoa: "Ya Tuhanku, berilah aku
ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau
anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku, dan untuk
mengerjakan amal salih yang Engkau redai; dan masukkanlah aku
dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang
salih."
Di
antara bala tentera yang besar itu, terdapat seekor burung
hudhud. Burung hudhud ialah sejenis burung belatuk.
Tugasnya sebagai
peninjau dan pengintip untuk Nabi Sulaiman. Hudhud
mencari tempat yang terdapat air. Selain daripada itu, burung
hudhud juga mencari tempat yang sesuai untuk tenteranya
berkhemah dan berehat. Ketika memeriksa pasukan burung yang
turut serta dalam bala tenteranya, Nabi Sulaiman mendapati
bahawa burung hudhud itu tidak hadir. Baginda sangat marah pada
burung hudhud yang tidak hadir itu dan mengancam untuk
menjatuhkan hukuman terhadapnya jika ia tidak mengemukakan
alasan yang munasabah.
Tidak
beberapa lama selepas itu, burung hudhud pun
muncul lalu menghadap Nabi Sulaiman.
"Saya
menemui sebuah kerajaan serta kaum yang tidak pernah dijumpai
olehmu mahupun oleh bala tenteramu. Kerajaan itu terletak di
negeri Sabak dan diperintah oleh seorang permaisuri. Kerajaan
mereka sungguh besar dan mempunyai kawasan jajahan yang sangat
luas. Walau pun mereka memiliki kepandaian dan kemahiran,
kerajaan dan kepimpinan, namun mereka sebenarnya golongan yang
bodoh dan jahil. Mereka menyembah matahari dan tidak menyembah
Allah s.w.t."
Nabi
Sulaiman berasa susah hati dengan berita tersebut. Nabi Sulaiman
terus bertindak dengan menulis sepucuk surat kepada permaisuri
kerajaan Sabak yang musyrik itu. Baginda mengajak mereka supaya
kembali kepada agama Allah s.w.t. Baginda mahu mereka tunduk dan
taat kepada perintahnya. Kalau mereka ingkar, baginda akan
mengerahkan bala tenteranya yang kuat masuk menyerang Sabak.
Nabi Sulaiman menulis dengan bahasa yang lemah lembut tetapi
tegas. Setelah siap, surat tersebut diterbangkan oleh burung
hudhud dan disampaikan kepada permaisuri Sabak yang bernama Ratu
Balqis.
Ratu
Balqis bijak orangnya. Beliau meminta nasihat daripada para
menteri dan pembesar negaranya tentang kandungan surat tersebut.
Surat itu amat luar biasa, tidak seperti surat-surat yang lain.
Surat itu adalah daripada seorang raja dan rasul yang
menyeru ke jalan Allah s.w.t.
Para
menteri dan pembesar kerajaan Sabak tidak takut kepada sebarang
ancaman. Pada mereka, negeri Sabak kuat dan bala tentera mereka
ramai. Mereka berasa angkuh dan bangga dengan kekuatan bala
tentera mereka seperti mana raja-raja yang terdahulu. Mereka
mencadangkan kepada Ratu Balqis supaya segala kekuatan bala
tentera dikerahkan untuk memerangi Nabi Sulaiman habis-habisan.
Tetapi Ratu Balqis tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.
"Kalau
kita tidak berhati-hati mungkin negara dan rakyat kita akan
tertawan dan hancur binasa. Oleh itu beta rasa eloklah kalau
beta kirimkan kepada Sulaiman beberapa hadiah yang istimewa
untuk mengujinya. Sekiranya Sulaiman menerima hadiah itu, maka
itu menandakan bahawa dia adalah seorang raja, dan kamu
hendaklah memeranginya.
Jika Sulaiman
enggan menerima hadiah tersebut, maka dia adalah seorang
nabi, dan kamu hendaklah mengikutnya," kata Ratu Balqis
kepada para menteri dan pembesarnya.
Ratu
Balqis mengumpulkan hadiah-hadiah yang banyak serta bernilai dan
istimewa. Hadiah-hadiah tersebut hanya layak diberikan kepada
golongan raja sahaja. Apabila hadiah itu sampai kepada Nabi
Sulaiman, baginda enggan menerimanya.
"Adakah
kamu hendak
menawarkan hadiah
kepadaku supaya
aku membiarkan
kamu terus
menyekutukan Allah? Sesungguhnya kerajaan, kekayaan dan kekuatan
bala tentera yang Allah kurniakan kepadaku lebih baik daripada
apa yang ada pada kamu. Ini adalah suatu urusan yang berat dan
penting, bukan main-main. Urusan ini ialah urusan seruan kepada
kebenaran, bukan urusan tawar-menawar," kata Nabi Sulaiman.
Kemudian
Nabi Sulaiman
mengancam akan
bertindak keras terhadap mereka. Nabi Sulaiman mengancam
akan menghantar
tenteranya untuk
menyerang negeri Sabak
Rombongan
yang datang itu pun pulang ke Sabak dengan membawa balik
hadiah-hadiah yang mereka bawa. Mereka menghadap permaisuri lalu
menceritakan apa yang telah berlaku. Apabila mendengar cerita
tersebut, permaisuri dan kaumnya patuh kepada kehendak Nabi
Sulaiman. Permaisuri berangkat dengan bala tenteranya untuk
menghadap Nabi Sulaiman. Apabila Nabi Sulaiman mengetahui
kedatangan mereka, baginda berasa gembira serta bersyukur atas
kebesaran Allah s.w.t.
Nabi
Sulaiman menyuruh pembantunya membawa singgahsana Ratu Balqis ke
istananya sebelum mereka tiba. Dalam masa yang amat singkat
singgahsana Ratu Balqis yang tersergam indah itu berada di
hadapan baginda. Nabi Sulaiman memerintahkan pembantunya
mengubah beberapa sifat yang ada pada singgahsana tersebut.
Tujuannya ialah untuk menguji Ratu Balqis sejauh mana beliau
mengenali singgahsananya.
Kemudian,
Nabi Sulaiman menyuruh
pengikut-pengikutnya dari kalangan manusia dan jin supaya
membina sebuah istana untuk Ratu Balqis. Mereka pun bertungkus
lumus membina sebuah istana besar yang diperbuat daripada kaca.
Mereka juga membuatkan air mengalir di bawah lantai
istana tersebut.
Setibanya
Ratu Balqis dihadapan istana, beliau berasa kagum akan
keindahannya. Beliau pun berjalan masuk ke dalamnya. Ratu Balqis
menyingsingkan kainnya supaya
kainnya tidak
basah, sehingga
mendedahkan kedua betisnya kerana disangkanya lantai yang
dipijaknya itu air. Ketika itu barulah Ratu Balqis sedar bahawa
beliau telah melakukan kesilapan.
"Sebenarnya
ini adalah sebuah istana yang diperbuat daripada kaca,"
tegur Nabi Sulaiman.
Kesilapannya
itu menyebabkan Ratu Balqis sedar akan kejahilannya selama ini.
Baginda menyedari kejahilannya menyembah matahari.
"Wahai
Tuhanku, sesungguhnya
aku telah
menganiaya diriku sendiri. Sekarang aku tunduk menyerah
kepada-Mu. Aku akan mentaati Rasul-Mu Sulaiman, Ya Allah! Engkau
sajalah Tuhan sekalian alam," kata Ratu Baiqis dengan penuh
keinsafan.
Nabi
Sulaiman terus memerintah kerajaannya dengan adil dan bijaksana.
Pada suatu hari baginda berasa bahawa ajalnya sudah hampir tiba.
Nabi Sulaiman berjalan perlahan-lahan sambil memegang tongkatnya
menuju mihrab masjid yang sedang dibina oleh golongan jin.
Baginda ingin melihat masjid itu siap. Oleh yang demikian
baginda berdiri di mihrab masjid tersebut sambil memerhati
kerja-kerja yang sedang dilakukan. Tidak lama kemudian Nabi
Sulaiman pun wafat dalam keadaan baginda masih berdiri. Jin-jin
yang sedang bekerja tidak menyedari perkara tersebut sehinggalah
tongkat yang dipegang oleh baginda patah dimakan oleh anai-anai
lalu jatuhlah jasad Nabi Sulaiman ke bumi.
-TAMAT-
|