NABI HUD (ke-empat)

 

Allah s.w.t. telah memberkati keturunan Nabi Nuh. Mereka tinggal di merata-rata tempat. Di kalangan mereka terdapat satu bangsa yang dipanggil 'Ad.

Kaum 'Ad terdiri daripada orang-orang yang sangat gagah dan tiada kaum lain yang dapat mengalahkan mereka pada masa itu. Allah s.w.t. memberi nikmat yang banyak kepada kaum 'Ad. Negeri kaum 'Ad penuh dengan ladang yang indah dan subur. Terdapat juga taman dan
anak sungai yang banyak. Binatang temakan seperti unta dan kambing pula memenuhi lembah-lembah di negeri mereka. Padang-padang rumput mereka dipenuhi oleh kuda. Rumah mereka didiami oleh anak pinak yang ramai. Unta dan kambing kaum 'Ad yang keluar ke padang
kelihatan seperti suatu pemandangan yang menarik sekali. Kelihatan ramai kanak-kanak bermain dengan riang di mana-mana sahaja.

Malangnya kaum 'Ad tidak bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang banyak itu. Kaum 'Ad lupa kepada peristiwa ribut taufan yang diceritakan oleh datuk nenek mereka. Mereka tidak mengambil pengajaran daripada kesan-kesan malapetaka yang masih dapat dilihat oleh mereka.

Mereka menyembah berhala seperti umat Nabi Nuh dahulu. Mereka mengukir patung berhala daripada batu dengan tangan mereka. Apabila siap mereka sujud kepada berhala dan menyembahnya. Mereka akan memohon hajat mereka daripada berhala-berhala
tersebut. Mereka menyembelih binatang sebagai korban untlik berhala seperti yang pemah dilakukan oleh kaum Nabi Nuh dahulu.

Kaum 'Ad yang kaya malas membuat kerja. Mereka hanya makan minum, bersuka ria dan bermain. Mereka merasa bangga membina rumah yang tinggi dan luas. Harta benda mereka dihabiskan untuk membeli air, tanah dan batu. Semua tempat lapang dan tanah tinggi
yang ada, dibina rumah di atasnya. Mereka membina rumah-rumah yang mewah seolah-olah mereka akan duduk selama-lamanya dan tidak akan mati. Mereka membina rumah lebih daripada yang
diperlukan, sedangkan orang yang miskin tidak cukup makan dan minum. Orang fakir di kalangan kaum 'Ad tidak memiliki rumah tetapi rumah golongan yang kaya pula tidak ada penghuni di dalamnya.

Di dalam keadaan inilah Allah s.w.t. telah mengutus seorang rasul kepada kaum 'Ad yang benama Hud. Baginda dilahirkan daripada keluarga yang mulia dan dibesarkan dengan didikan yang baik. 

Setelah menerima perintah daripada Allah s.w.t., Nabi Hud keluar berdakwah kepada kaumnya.

"Wahai kaumku! Sembahlah Allah. Kamu semua tidak mempunyai Tuhan selain-Nya. Wahai kaumku! Kenapa kamu menyembah berhala dan tidak menyembah Tuhan yang telah menjadikan kamu?" seru Nabi Hud kepada kaumnya.

"Wahai kaumku! Ini hanya batu yang kamu ukir kelmarin. Hari ini kenapa pula kamu menyembahnya? Sesungguhnya Allah yang menjadikan kamu serta memberi kamu rezeki. Allah juga telah memberi berkat kepada harta benda, hasil tanaman dan keturunan kamu. Dia telah menjadikan kamu sebagai pemerintah di bumi
ini sesudah kaum Nuh. Dia yang menjadikan badan kamu kuat.
"Nikmat yang banyak ini sepatutnya membuat kamu menyembah Allah, bukan menyembah yang lain. Sesungguhnya anjing yang kamu lemparkan tulang kepadanya itu tidak akan lari dari rumah kamu. la tetap mengikuti kamu ke mana sahaja kamu pergi seperti bayang-bayang. Pernahkah kamu lihat anjing meninggalkan tuannya dan pergi kepada orang lain? Pernahkah kamu lihat haiwan menyembah berhala? Pernahkah kamu lihat binatang sujud kepada batu?" "Oleh itu, adakah manusia lebih hina daripada haiwan, atau adakah manusia lebih mulia?"

Mereka sangat marah mendengar kata-kata Nabi Hud. "Apakah yang dikatakan oleh Hud? Apa yang dia mahu? Kami tidak faham cakapnya? Dia tentu bodoh atau gila!" kata mereka sesama mereka.

Nabi Hud terus menasihati kaumnya, tetapi beliau mendapat cemuhan daripada golongan pembesar kaum'Ad.

"Sesungguhnya kami anggap kamu bodoh dan termasuk di dalam golongan orang yang berbohong," kata golongan pembesar kaum 'Ad.

"Wahai kaumku! Aku tidak bodoh, tetapi sebenarnya aku seorang utusan daripada Tuhan sekalian alam. Aku hanya menyampaikan perutusan Tuhanku. Aku adalah penasihat yang jujur untuk kamu," jawab Nabi Hud.

Nabi Hud terus berusaha menasihati kaumnya. Dia menyeru mereka dengan hikmah dan lemah lembut. "Wahai kaumku! Aku ini saudara dan sahabat kamu! Tidakkah kamu kenal aku? Wahai saudara-saudaraku, mengapa kamu takut dan lari daripadaku? Aku tidak mengurangkan harta kamu sedikit pun. Aku tidak meminta bayaran untuk seruanku ini. Bayaranku hanyalah daripada Allah," kata Nabi Hud lagi.

"Wahai kaumku! Apakah yang kamu takut kalau kamu percaya kepada Allah? Allah tidak akan mengambil harta kamu sedikit pun apabila kamu percaya kepada-Nya. Malah Allah akan memberkati rezeki kamu
dan menjadikan kamu bertambah kuat. Wahai kaumku! Mengapa kamu hairan dengan apa yang aku katakan? Allah sebenarnya tidak bercakap dengan setiap orang. Allah tidak bertemu setiap orang, menyuruhnya buat begitu dan begini. Sebaliknya Allah mengutus kepada setiap kaum seorang lelaki dari kalangan mereka juga.
Utusan inilah yang berkata-kata dengan mereka serta menasihati mereka."

"Oleh yang demikian, Allah telah mengutus aku kepada kamu supaya aku bercakap dengan kamu dan menasihati kamu. Adakah kamu hairan kalau seorang lelaki daripada kalangan kamu datang membawa
peringatan daripada Allah untuk kamu?"

Kaum 'Ad tidak dapat menjawab. Mereka tidak tahu bagaimana hendak menjawab teguran Nabi Hud. Namun dalam kelemahan mereka itu, mereka masih degil dan berkata, "Tuhan kami marah kepada engkau lalu membalasnya dengan memberi penyakit dalam akal fikiran engkau! Bala daripada tuhan kami telah menimpa
engkau!"

"Sesungguhnya berhala kamu itu cumalah batu yang tidak memberikan kebaikan atau kecelakaan! Berhala itu hanyalah batu yang tidak dapat bercakap, mendengar dan melihat! Berhala itu tidak membawa
kebaikan dan juga kejahatan. Berhala itu tidak boleh membantu atau mencederakan sesiapa pun!"

"Kamu semua juga tidak dapat membawa kebaikan atau kejahatan. Kepadaku kamu tidak boleh memberikan kebaikan atau kecelakaan. Sesungguhnya aku tidak percaya kepada tuhan-tuhan palsu kamu dan juga tidak takut kepada mereka. Sesungguhnya aku tidak mahu
melakukan perbuatan syirik seperti kamu. Aku juga tidak takut kepada kamu. Buatlah rancangan jahat terhadap diriku. Aku hanya bergantung dengan pertolongan Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Setiap benda
berada dalam kekuasaan-Nya. Tidak ada sehelai daun pun yang jatuh kecuali dengan izin-Nya," kata Nabi Hud.

Kaum 'Ad mendengar apa yang dikatakan oleh Nabi Hud. Tetapi mereka masih tidak beriman. Nasihat Nabi Hud kepada mereka sia-sia sahaja. Hikmah Nabi Hud untuk memujuk mereka juga menjadi sia-sia sahaja.

"Wahai Hud! Engkau tidak ada bukti dan tanda! Kami tidak akan meninggalkan tuhan-tuhan kami yang dulu semata-mata kerana mendengar kata-katamu ini. Patutkah kami meninggalkan tuhan-tuhan yang disembah oleh datuk nenek kami semata-mata kerana kata seseorang? Tidak sekali! Tidak sekali!" "Wahai Hud! Engkau tidak beriman dengan tuhan-tuhan kami dan tidak takut kepada mereka. Kami pun tidak beriman dengan Tuhan engkau dan tidak takut dengan seksaan-Nya. Kami selalu mendengar engkau menyebut-nyebut tentang azab. Di manakah azab itu, wahai Hud?" Bila kah ia tiba?"

"Hanya Allah yang mengetahui bila datangnya azab seksa-Nya. Aku hanyalah pemberi peringatan yang jelas," jawab Nabi Hud.

"Kami menanti azab itu dan ingin sekali melihatnya," kata kaum 'Ad lagi Bertahun-tahun Nabi Hud berdakwah kepada kaumnya. Namun mereka tidak mahu beriman. Nabi Hud terkejut melihat keberanian mereka mencabar Allah s.w.t. Baginda amat menyesali kebodohan mereka. 

Pada suatu ketika Allah s.w.t. telah menahan hujan daripada turun di negeri tempat tinggal kaum 'Ad. Mereka menanti air hujan setiap hari. Mereka memandang ke langit, namun sedikit awan pun tidak kelihatan. Mereka sangat berhajat kepada hujan kerana air sungai telah kering dan mereka telah kehabisan air minum.

Pada suatu hari mereka ternampak sekelompok awan datang ke arah mereka. Mereka berasa sangat gembira. "Ini awan pembawa hujan! Ini awan hujan!" jerit mereka. Mereka menari-nari kegembiraan sambil
berseru, "Awan hujan, awan hujan!"

Tetapi Nabi Hud faham bahawa azab seksa Allah sebenarnya sudah tiba. "ltu bukan awan rahmat yang membawa hujan. Sebenarnya itu angin kencang yang membawa azab yang pedih" kata Nabi Hud kepada kaumnya.

Temyata kata Nabi Hud itu benar. Angin yang kencang pun bertiup. Orang ramai belum pernah melihat angin sekencang itu. Kaum 'Ad lupa kepada peristiwa ribut taufan yang pernah diceritakan oleh nenek moyang mereka. Mereka juga tidak mengambil pengajaran daripada kesan-kesan malapetaka itu. Kesan daripada peristiwa itu masih dapat dilihat oleh mereka. Angin tersebut bertiup dengan kencangnya. Kaum Ad berasa sangat takut dan gerun. Mereka masuk ke dalam rumah mereka dan mengunci pintu. Kanak-kanak memeluk ibu-ibu mereka. Orang dewasa pula memeluk tiang dan dinding serta masuk ke dalam bilik-bilik mereka. Kanak-kanak menangis, perempuan berteriak dan kaum lelaki melolong meminta tolong. Kemudian
mereka terdengar suara berkata: "Hari ini tidak ada perlindungan daripada azab seksa Allah."

Pokok-pokok tercabut dan rumah-rumah kediaman runtuh dipukul angin. Angin tersebut mengangkat binatang-binatang lain membawanya berterbangan ke tempat yang jauh. Debu-debu padang pasir berterbangan dengan banyaknya. Dunia menjadi gelap gelita. Manusia tidak dapat melihat sesuatu pun. Angin kencang tersebut bertiup berterusan selama tujuh malam dan lapan hari. Akhirnya matilah kaum 'Ad dan jadilah mereka seperti pokok tamar yang tumbang ke
bumi. Keadaannya amat dahsyat sekali. Mayat-mayat manusia yang bertebaran dimakan oleh burung. Rumah dan mahligai yang telah runtuh kini didiami oleh burung-burung hantu sahaja.

Nabi Hud dan para pengikutnya yang beriman diselamatkan oleh Allah s.w.t. disebabkan keimanan mereka. Sebaliknya kaum 'Ad telah terbunuh disebabkan kekufuran dan kedegilan mereka sendiri.

-TAMAT-