NABI MUSA DAN NABI HARUN                                                   (ke-limabelas dan ke-enambelas)

 
 

Negeri Mesir pada suatu masa diperintah oleh raja yang bergelar Firaun dan berbangsa Qibti. Raja tersebut sangat benci kepada Bani Israil. Dia menganggap bangsanya lebih mulia daripada Bani Israil. Bani Israil dijadikan hamba abdi dan orang suruhan. Bani Israil dipaksa bekerja tanpa upah, tetapi hanya diberi makanan setiap hari.

Pada suatu hari seorang paderi Qibti telah berjumpa Firaun. Dia mempunyai suatu ramalan penting yang perlu disampaikan kepada Firaun.

"Seorang bayi lelaki akan dilahirkan dan kalangan Bani Israil. Dia akan memusnahkan kerajaan tuanku," kata paderi tersebut.

Firaun berasa sangat cemas dan risau dengan ramalan paderi tersebut. Tanpa berfikir panjang Firaun memerintahkan tenteranya membunuh setiap bayi lelaki yang dilahirkan di kalangan Bani Israil. 

Tentera Firaun menurut perintahnya tanpa soal. Mereka pergi ke setiap pelusok bumi Mesir mencari dan menyoal setiap penduduk Apabila mereka mendapat tahu ada bayi lelaki yang baru dilahirkan di kalangan Bani Israil, mereka akan merampas dan membunuh bayi itu tanpa belas kasihan. Beratus-ratus bayi le1aki dibunuh setiap hari.  Hari kelahiran anak-anak Bani Israil ketika itu bukan suatu hari yang menggembirakan tetapi suatu hari yang amat menakutkan mereka.

Ketika itulah Musa bin Imran dilahirkan. Selama tiga bulan Musa hidup di tengah-tengah tentera yang berkeliaran mencari mangsa mereka. Namun tentera Firaun gagal mengesannya. Ibu Musa sangat bimbang akan keselamatan anaknya yang comel itu Ketika itulah, Allah s.w.t. menunjukkan jalan kepadanya.

Allah s.w.t. menggerakkan hati ibu Musa untuk meletakkan anaknya di dalam sebuah kotak dan menghanyutkannya di Sungai Nil. Ibu Musa melakukan apa yang diilhamkan oleh Allah s.w.t. Walaupun berasa sangat sedih dan pilu, namun beliau berserah kepada Allah s.w.t. untuk menentukan nasib anaknya itu.

Firaun mempunyai banyak istana di sepanjang Sungai Nil. Dia berpindah dari satu istana ke satu istana yang lain serta bersiar-siar di tepi Sungai Nil. Pada suatu hari Firaun duduk berehat di tebing Sungai Nil. Firaun dan isterinya memerhati air sungai yang mengalir.

Tiba-tiba mereka terpandang sebuah peti yang terumbang-ambing. Peti itu hampir terbalik dipukul arus.

"Ambil peti itu!" perintah Firaun kepada orang suruhannya.

Orang suruhan itu pun pergi dan mengambil peti itu. Apabila dia membuka peti itu, didapatinya ada seorang bayi yang comel sedang tersenyum. Orang ramai terkejut  dan  terpegun.  Mereka  mengambil  dan mendukungnya. Isteri Firaun memandang bayi itu dengan penuh kasih. Dia memeluk bayi itu dan menciumnya. Dia ingin memelihara bayi itu. Walaupun pada mulanya Firaun menentang, namun setelah dirayu oleh isterinya, dia pun bersetuju mengambil Musa sebagai anak angkat.

Dengan itu Nabi Musa dapat memasuki istana Firaun dan dibesarkan di sana. Firaun dan tenteranya tidak menyangka bahawa bayi tersebut akan menjadi satu ancaman kepada mereka. Allah s.w.t. ingin menunjukkan bahawa Dia amat berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

Nabi  Musa  dibesarkan  di  istana  Firaun sebagaimana putera-puteri raja yang lain pada masa itu. Nabi Musa dapat melihat bagaimana Firaun dan ahli keluarganya menikmati kemewahan hidup. Baginda dapat melihat bagaimana Bani Israil terpaksa menahan diri daripada makan dan minum agar Firaun dan keluarganya dapat hidup mewah. Bani Israil terpaksa berlapar supaya haiwan peliharaan Firaun kenyang. Keadaan ini membuatkan Nabi Musa marah terhadap Firaun.

Pada suatu hari Nabi Musa pergi ke bandar diraja Firaun. Orang ramai sedang sibuk dengan urusan harian mereka. Nabi Musa terserempak dengan dua orang yang sedang bergaduh. Seorang daripadanya berbangsa Qibti dan seorang lagi dari bangsa Bani Israil.

Pemuda Bani Israil itu menjerit meminta tolong kepada Nabi Musa. Dia mengadu tentang orang Qibti itu. Nabi Musa berasa marah lalu memukul orang Qibti tersebut. Tiba-tiba orang Qibti itu jatuh lalu mati. Nabi Musa menyesal dengan perbuatannya.

"Ini adalah daripada perbuatan syaitan. Sesungguh­nya syaitan adalah musuh yang jelas dan menyesatkan," kata Nabi Musa kepada dirinya sendiri.

Nabi Musa tidak berniat untuk membunuh orang Qibti itu. Namun, peristiwa tersebut telah diketahui oleh Firaun. Firaun dan menteri-menterinya mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan perkara tersebut. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menangkap dan membunuh Nabi Musa. Kebetulan pada waktu itu seorang lelaki terdengar perbincangan mereka. Dia terus menemui Nabi Musa dan memberitahu baginda tentang rancangan Firaun itu.

"Eloklah engkau keluar dari negeri ini," nasihat lelaki itu dengan ikhlas.

Nabi Musa berasa cemas dengan berita tersebut lalu baginda mengambil keputusan untuk melarikan diri dan negeri Mesir.

"Wahai Tuhanku, selamatkanlah diriku daripada kaum yang zalim," doa Nabi Musa.

Allah s.w.t. memberi ilham kepada Nabi Musa supaya pergi ke negeri Madyan, iaitu sebuah negeri yang tidak diperintah oleh Firaun. Di Madyan tidak terdapat kota-kota, istana-istana atau pasar-pasar orang Mesir. Madyan sentiasa aman dan tenteram.

Nabi Musa menuju Madyan dengan perasaan bimbang dan takut. Baginda khuatir tentera Firaun dapat mengesan perjalanannya. Nabi Musa terus berdoa, "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku."

Akhirnya Nabi Musa sampai di negeri Madyan. Di­sanalah baginda bertemu Nabi Syuaib dan tinggal bersama-samanya lebih daripada lapan tahun. Baginda juga telah mengahwini salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib.

Pada suatu ketika, Nabi Musa mula teringatkan kaum  keluarganya  di  Mesir  yang  telah  lama ditinggalkan. Baginda menemui bapa mertuanya dan meminta izin untuk pulang bersama-sama isterinya. Walaupun agak keberatan, Nabi Syuaib memahami perasaan Nabi Musa. Nabi Musa dan isterinya pun bersiap sedia untuk pulang ke Mesir.

Nabi Musa memulakan perjalanan dengan isterinya pada waktu malam yang dingin dan gelap. Apakah yang harus mereka berdua lakukan? Mereka tidak mempunyai api untuk memanaskan badan dan tidak mempunyai lampu untuk menyuluh jalan. Mereka tiba di Lembah Tuwa yang terletak di kaki gunung Tur Sina. Nabi Musa cuba menyalakan api tetapi gagal. Tiba-tiba baginda ternampak api di suatu tempat yang jauh di hadapan.

"Aku ternampak api. Aku harap dapat membawa api itu ke sini atau mendapat petunjuk jalan di situ. Engkau tunggulah di sini sementara aku pergi ke sana," kata Nabi Musa kepada isterinya.

Nabi Musa menghampiri cahaya itu dengan penuh harapan. Apabila baginda sampai di tempat itu tiba-tiba nama baginda dipanggil: "Wahai Musa, sesungguhnya Aku Tuhanmu, maka tanggalkanlah kasutmu kerana engkau sekarang berada di Lembah Tuwa yang suci.

"Aku telah memilih kamu menjadi rasul, maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya Akulah Allah. Tiada Tuhan melainkan Aku.  Oleh itu,  sembahlah  Aku  dan  dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku. Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang," firman Allah s.w.t.

Allah s.w.t mengurniakan dua mukjizat kepada Nabi Musa, yang pertama tongkatnya boleh bertukar menjadi ular yang besar dan yang kedua tangannya bersinar-sinar.

"Pergilah  kepada  Firaun,  sesungguhnya  dia melampaui batas," firman Allah s.w.t.

"Ya Allah! Sesungguhnya aku telah membunuh seorang pemuda daripada kaum Firaun. Aku bimbang mereka akan membunuhku," kata Nabi Musa.

"Sesungguhnya aku bimbang mereka tidak akan percaya kepadaku lalu jadi sempitlah dadaku serta tidak lancar lidahku untuk berkata-kata. Oleh itu izinkanlah Harun membantuku," kata Nabi Musa lagi.

"Jangan takut, mereka tidak akan membunuhmu. Pergilah kamu berdua membawa tanda-tanda-Ku. Sesungguhnya Aku bersama-sama kamu, Aku mendengar dan melihat," firman Allah s.w.t.

"Dan hendaklah kamu membebaskan Bani Israil untuk bersama Kami," firman Allah s.w.t. "Hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan perkataan yang lemah lembut. Mudah-mudahan dia beringat atau takut," firman Allah s.w.t. lagi.

Nabi Musa dan isterinya masuk ke negeri Mesir tanpa disedari oleh tentera Firaun. Baginda bertemu kembali  dengan  kaum  keluarganya  yang  telah bertahun-tahun ditinggalkan. Nabi Musa menerangkan tugas dakwah yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada baginda dan Nabi Harun.

Pada suatu hari mereka masuk ke dalam majlis keraian Firaun. Firaun dan tetamunya sedang bersuka ria. Tiba-tiba suasana yang riuh rendah itu menjadi senyap. Nabi Musa dan Nabi Harun berdiri di tengah-tengah majlisnya.

"Siapakah kamu wahai pemuda? Mengapa berdiri di dalam majlisku dan membuat aku marah? Bukankah kamu budak yang kami pungut dari sungai dulu? Bukankah kami telah memeliharamu ketika kamu masih kecil dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun? Kemudian kamu melakukan perbuatan jenayah. Kamu termasuk orang yang tidak mengenang budi," kata Firaun dengan sombong dan angkuh.

"Aku melakukan yang demikian ketika aku belum mendapat petunjuk. Alku melarikan din daripada kamu kerana aku takut kepada hukuman kamu. Kemudian Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam mengurniakan kepadaku kebijaksanaan dan melantik aku menjadi seorang rasul," kata Nabi Musa.

"Wahai Firaun, kamu telah berbakti kepadaku dengan memeliharaku. Tetapi kamu tidak berfikir kenapa aku diambil untuk dipelihara," kata Nabi Musa lagi.

"Sekiranya kamu tidak memerintahkan supaya bayi-bayi dibunuh pasti ibuku tidak mencampakkan aku ke dalam sungai Nil. Nescaya aku tidak akan jatuh ke tanganmu."

"Adakah kejadian itu suatu yang perlu disanjung dan dipuji sedangkan kamu memerintah dengan kejam dan zalim?"

"Kamu menjadikan kaumku seperti haiwan. Kamu juga menyeksa dan menindas mereka dengan kejam."

"Oleh  itu  apa  ertinya  budi  kamu  dengan memelihara seorang bayi daripada kalangan mereka? Itu pun dilakukan kerana kesilapan dan kebodohanmu. Budi baik kamu memelihara aku yang kamu ungkitkan itu adalah kerana kamu telah memperhambakan Bani Israil."

Firaun diam tidak berupaya menjawab kata-kata Nabi Musa itu.

"Dan apakah dia Tuhan sekalian alam yang aku dengar kamu sebutkan itu?" tanya Firaun.

"Itulah Tuhan yang memiliki dan menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya."

Firaun marah mendengar jawapan Nabi Musa itu. Dia mahu supaya tetamu dalam majlisnya turut marah dan berasa hairan dengan jawapan Nabi Musa itu.

"Tidakkah kamu semua dengar kata-katanya?" tanya Firaun kepada tetamunya.

Nabi Musa menambah lagi: "Dialah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu. Dialah Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu."

Mendengar kata-kata Nabi Musa itu, Firaun menjadi tidak sabar lagi.

"Ini orang gila!" kata Firaun kepada tetamunya.

"Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya. Kamu tentu memahaminya kalau kamu benar-benar berakal," tegas Nabi Musa tanpa menghiraukan kemarahan Firaun.

Firaun tidak tahan lagi mendengar Nabi Musa menghuraikan sifat-sifat Allah s.w.t. Dia ingin mengubah tajuk perdebatan tersebut.

"Jika benar apa yang kamu katakan, bagaimana pula nasib kaum-kaum yang telah lalu?" tanya Firaun kepada Nabi Musa.

Di dalam hatinya, Firaun berkata: "Jika Musa menjawab mereka itu benar, aku akan kata bahawa mereka itu adalah penyembah berhala! Kalau Musa berkata  mereka  itu  sesat  dan  bodoh  pasti tetamu-tetamuku  akan  marah  dan  menuduhnya menghina nenek moyang mereka." Firaun menunggu jawapan Nabi Musa.

"Tuhanku lebih mengetahui tentang nasib mereka. Ia tertulis di dalam sebuah kitab. Tuhanku tidak keliru dan tidak lupa," kata Nabi Musa.

"Dialah Tuhan yang telah menjadikan bumi kepada kamu sebagai hamparan. Dia telah mengadakan jalan-jalan di bumi ini untuk kamu. Dialah yang menurunkan hujan dari langit," kata Nabi Musa seterusnya.

Firaun tercengang dan tergamam. Dia gugup, tidak tahu apa yang hendak dikatakannya lagi.

"Jika  kamu  menyembah  Tuhan  yang  lain daripadaku, aku akan penjarakan kamu," kata Firaun kepada Nabi Musa. Dia begitu marah kepada Nabi Musa. Dia tidak mampu berhujah lagi.

"Adakah engkau akan penjarakan aku sedangkan aku mempunyai bukti yang jelas dan nyata?" kata Nabi Musa.

"Jika demikian, bawalah bukti itu jika engkau seorang yang benar," jawab Firaun.

Nabi Musa mencampakkan tongkatnya. Tiba-tiba tongkat itu menjadi seekor ular yang besar. Kemudian beliau mengeluarkan tangannya. Tiba-tiba tangannya menjadi putih bersinar-sinar.

"Orang ini adalah ahli sihir yang mahir," kata Firaun kepada orang-orang yang hadir.

"Patutkah  kamu  berkata  demikian  apabila datangnya kebenaran? Adakah bukti yang aku tunjukkan ini sihir? Sebenarnya ahli-ahli sihir tidak akan berjaya berbuat demikian," kata Nabi Musa.

"Adakah engkau datang untuk menghalang kami daripada menyembah berhala, sedangkan itulah yang datuk nenek kami lakukan? Apakah kamu mahu merampas kuasa di bumi Mesir ini? Kami tidak akan memberikannya kepada kamu berdua," balas Firaun dengan sombong.

"Musa hendak menghalau kamu keluar dan negeri Mesir ini dengan sihirnya. Apa pendapat kamu?" tanya Firaun kepada para pembesarnya.

Para pembesar mencadangkan supaya Firaun mengumpulkan semua ahli sihir dalam negeri Mesir dan diadakan pertandingan di antara Nabi Musa dan mereka. Firaun menerima cadangan tersebut. Pengumuman pun dibuat di seluruh pelosok negeri Mesir untuk memanggil ahli-ahli sihir yang paling mahir.

Pada hari yang ditetapkan, iaitu hari perayaan kaum Qibti, ahli-ahli sihir Firaun pun berkumpul. Sejak awal pagi lagi orang ramai sudah keluar dari rumah mereka menuju gelanggang pertandingan.

Apabila ahli-ahli sihir itu tiba di gelanggang, mereka menghadap Firaun.

"Adakah kami akan memperoleh ganjaran jika kami menang?" tanya ahli-ahli sihir kepada Firaun.

"Ya, jika kamu menang, pasti kamu akan diberikan pangkat yang tinggi," jawab Firaun.

Ahli-ahli sihir begitu gembira dengan janji Firaun itu.  Mereka  berkumpul  di  tengah  gelanggang bersama-sama Nabi Musa.

"Campakkanlah barang-barang sihir kamu," kata Nabi Musa kepada ahli-ahli sihir itu.

"Demi raja kami Firaun, kami akan menang," kata ahli-ahli sihir itu dengan angkuh.

Ahli-ahli sihir itu pun mencampakkan tali-tali dan tongkat. Tiba-tiba kelihatan beratus-ratus ekor ular menjalar di atas gelanggang perlawanan. Orang ramai terkejut dan terpegun lalu berundur ke belakang sambil menjerit, "Ular! Ular!"

Nabi Musa yang melihat kejadian tersebut turut hairan. Tali-tali dan tongkat-tongkat itu kelihatan seperti ular disebabkan oleh sihir mereka.

"Janganlah  takut.  Sebenarnya  kamu  akan mengalahkan mereka. Campakkanlah tongkat yang ada di tangan kanan kamu. Tongkat itu akan menelan segala sihir yang mereka lakukan. Sebagai ahli sihir, mereka hanya pandai menipu. Mereka tidak akan mendapat kemenangan walau di mana mereka berada," firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa.

Nabi Musa menjadi bertambah berani. Baginda mencampakkan tongkatnya. Tiba-tiba tongkatnya itu menjadi ular yang lebih besar. Ular itu menelan ular-ular palsu tadi. Ahli-ahli sihir terkejut dan terpegun. Apakah yang telah dilakukan oleh Musa? Mereka tertanya-tanya apabila melihat kebolehan Nabi Musa yang hebat itu.

"Hanya kami yang tahu asal usul dan jenis-jenis sihir! Kami tahu apa yang dilakukan oleh Musa ini sihir! Hanya sihir yang dapat mengalahkan sihir. Akan tetapi, sihir kami lenyap di hadapan ilmu Musa! Kebolehan kami hilang sebagaimana hilangnya embun di bawah pancaran matahari. Dari manakah ilmu Musa? “lmunya tentu daripada Allah s.w.t.," kata ahli-ahli sihir itu.

Akhirnya ahli-ahli sihir itu sedar dan yakin bahawa Musa adalah seorang nabi. Mereka sedar bahawa Allah s.w.t. telah menganugerahkan kebolehan kepadanya.

"Kami beriman dengan Tuhan Musa dan Harun" kata ahli-ahli sihir itu dengan suara yang kuat.

"Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, Tuhan Musa dan Harun," kata ahli-ahli sihir tersebut sambil bersujud kepada Allah s.w.t.

Firaun sangat marah melihat kekalahan ahli-ahli sihirnya. Dia tidak dapat mengawal perasaannya. Nasib Firaun sungguh malang. Perkara yang tidak diingininya sudah  berlaku.  Rancangan  jahat  Firaun  telah memerangkap dirinya sendiri.

"Patutkah kamu beriman dengan Musa sebelum aku mengizinkannya? Sudah tentu dia adalah ketua yang telah mengajar kamu sihir! Ini tentunya rancangan kamu. Kamu cuba mengajak penduduk di Mesir ini supaya percaya kepada Musa," kata Firaun dengan sombong dan angkuh.

"Aku akan memotong tangan kanan dan kaki kiri kamu atau sebaliknya secara bersilang. Aku akan menggantung kamu semua pada kayu palang," kata Firaun.

"Amaran kamu itu tidak menjadi halangan kepada kami. Kami tidak gentar kerana kepada Allah kami akan kembali. Kami berharap Allah akan mengampunkan dosa-dosa kami kerana kamilah orang yang pertama sekali beriman dalam kejadian ini," kata ahli-ahli sihir itu.

Firaun sangat susah hati memikirkan masalah Nabi Musa. Dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Dia juga tidak berselera untuk makan dan minum.

"Adakah tuanku hendak biarkan Musa dan kaumnya melakukan kerosakan di bumi ini meninggalkan tuanku dan tuhan-tuhan tuanku?" kata para pengiring Firaun.

"Aku akan bunuh anak lelaki mereka dan membiarkan anak perempuan mereka hidup. Aku lebih berkuasa daripada mereka!" kata Firaun dengan suara yang kuat.

Usaha dakwah Nabi Musa dan Nabi mendapat sambutan yang baik daripada Bani Israil. Tetapi ia sentiasa mendapat tentangan yang hebat daripada Firaun dan tenteranya. Setiap hari, ada penderitaan dan ujian yang baru! Setiap hari ada saja bencana yang menimpa Bani Israil.

Di  dalam  keadaan  tersebut  Nabi  Musa menenangkan hati mereka dan menasihati mereka supaya bersabar.

Tidak  lama  kemudian  Allah  s.w.t.  telah menurunkan bala-Nya ke atas Firaun. Musim kemarau terjadi. Tanaman mereka semakin kurang mengeluarkan hasil sehingga mereka dilanda kebuluran.  Firaun, Haman dan pegawai-pegawai mereka tidak berupaya berbuat apa-apa.

"Bencana yang menimpa kita ini berpunca daripada Musa dan kaumnya!" kata mereka.

Kemudian Allah s.w.t. menimpakan satu lagi bencana kepada kaum Firaun. Allah s.w.t. menurunkan hujan yang lebat sehingga air Sungai Nil melimpah. Akhirnya, ladang dan tanaman ditenggelami air.

Kemudian Allah s.w.t. mendatangkan belalang untuk memusnahkan tanaman mereka. Ini diikuti pula oleh serangan sejenis binatang kecil yang dipanggil hama. Binatang ini mengganggu mereka siang dan malam sehingga tiada tempat yang selamat bagi mereka.

Kemudian Allah s.w.t. mendatangkan katak. Di mana-mana saja terdapat katak di dalam makanan, di dalam minuman dan di celah-celah pakaian mereka.

Akhir sekali Allah s.w.t mendatangkan sejenis penyakit berdarah. Penyakit ini menyebabkan darah yang terus-menerus keluar daripada hidung mereka.

Setiap kali mereka ditimpa bencana daripada Allah s.w.t. itu, mereka merayu kepada Nabi Musa: "Berdoalah kepada Tuhanmu supaya Dia melenyapkan bencana ini daripada kami. Kami akan bertaubat dan beriman. Kami akan membenarkan Bani Israil bersama kamu." Tetapi apabila Allah s.w.t. menghilangkan bencana daripada mereka, mereka memungkiri janji.

Pada suatu hari Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Musa supaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir pada waktu malam. Baginda memberitahu Bani Israil supaya bersiap sedia untuk berpindah. Rancangan Nabi Musa telah diketahui oleh tentera Firaun melalui pengintipnya.

Pada malam yang ditentukan itu, Nabi Musa bersama Bani Israil berangkat menuju ke Tanah Suci, iaitu Baitul Maqdis. Bani Israil terdiri daripada dua belas puak. Tiap-tiap puak mempunyai ketua mereka sendiri.

Nabi Musa telah tersilap jalan dan kesilapannya itu sebenarnya telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Nabi Musa menyangka bahawa baginda sedang membawa Bani Israil menghala ke utara. Tetapi, dalam kegelapan malam itu, mereka sebenarnya menghala ke timur. Tiba-tiba mereka mendapati diri mereka berada di hadapan Laut Merah.

"Demi Tuhan Yang Maha Pelindung! Di manakah kita?" kata Bani Israil. Mereka terperanjat.

"Kita di hadapan laut!"

Hari semakin cerah. Mereka berpaling ke belakang lalu ternampak debu-debu berterbangan.  Kemudian muncul Firaun dengan bala tenteranya di belakang mereka. Ketika itu kedengaran suara jeritan Bani Israil yang ketakutan.

"Musa! Apakah yang membuat kamu benci terhadap kami sehingga kamu merancang untuk membunuh kami?" tanya Bani Israil kepada Nabi Musa.

Bani Israil merasakan dunia sekeliling mereka gelap-gelita. Mereka mula berputus asa. Suara jeritan tidak kedengaran lagi. Mereka kini dalam ketakutan.

Tetapi keimanan Nabi Musa kepada Tuhannya tidak sedikit pun berubah.

"Tidak sama sekali! Kita tidak akan ditawan. Sesungguhnya Tuhan  bersama kita. Dia akan memberikan petunjuk kepadaku," kata Nabi Musa. Sebagai seorang nabi, beliau sentiasa yakin kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Musa supaya memukul air laut dengan tongkatnya. Maka dengan izin Allah, laut itu terbelah dan di tengah-tengahnya terdapat jalan yang mempunyai dua belas lorong. Tiap-tiap puak melalui lorong-lorong yang berlainan. Bani Israil pun menyeberangi laut itu melalui lorong-lorong tersebut. Akhirnya mereka selamat sampai ke seberang.

Firaun dan tenteranya melihat Bani Israil berjalan menyeberangi laut dengan selamat. Mereka terus mara menerusi jalan yang dilalui oleh Nabi Musa dan kaumnya.

Apabila  Firaun  dan  tenteranya  sampai  di pertengahan jalan, tebing-tebing air laut yang seperti gunung itu pun jatuh ke atas mereka. Mereka tenggelam. Ketika itu baharulah Firaun sedar bahawa dirinya sudah hampir kepada kematian.  Ingatannya terhadap keseronokan dan kemewahan dunia hilang sama sekali.

"Aku percaya kepada Tuhan Bani Israil. Tidak ada Tuhan selain Dia. Aku berserah diri kepada Allah!" kata Firaun dalam keadaan yang cemas itu.

Tetapi, taubatnya sudah tidak berguna lagi. Firaun dan tenteranya tenggelam di dalam Laut Merah. Tamatlah riwayat hidup seorang yang zalim dan sombong.

Tidak berapa lama kemudian kelihatan mayat Firaun terapung-apung di permukaan laut. Akhirnya, mayat Firaun dipukul ombak ke pantai. Dengan itu barulah Bani Israil yakin Firaun telah mati.

Pada suatu hari satu pembunuhan telah berlaku di kalangan Bani Israil. Mereka tidak dapat mencari pembunuhnya. Akhirnya mereka berjumpa Nabi Musa. "Wahai Nabi Allah, bantulah kami dalam masalah ini. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar Dia menunjukkan kepada kami siapakah pembunuh itu," mereka merayu kepada Nabi Musa.

Nabi Musa berdoa kepada Allah s.w.t. Allah mewahyukan kepadanya supaya Bani Israil menyembelih seekor lembu betina. Tetapi mereka meminta supaya Allah s.w.t. memberitahu mereka sifat-sifat lembu betina tersebut kerana tidak yakin dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Musa. Akibatnya mereka hampir-hampir tidak menemui lembu betina tersebut.

Akhirnya, setelah bersusah payah, mereka bertemu juga dengan lembu betina tersebut. Ia dimiliki oleh seorang anak yatim. Mereka membeli lembu itu dengan harga yang sangat mahal. Mereka pun menyembelihnya.

Allah s.w.t. memerintahkan supaya orang yang terbunuh itu dipukul dengan salah satu daripada anggota lembu betina itu. Setelah dipukul, dengan izin Allah s.w.t., orang itu pun hidup kembali dan dia memberitahu nama pembunuhnya.

Pada suatu hari Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa supaya bersuci dan berpuasa selama tiga puluh hari. Kemudian baginda diarahkan pergi ke bukit Tur Sina. Di sana Allah s.w.t. akan menurunkan sebuah kitab yang akan dijadikan pembimbing kepada Bani Israil.

Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki daripada kaumnya untuk menjadi saksi kepada peristiwa penting itu. Saksi-saksi itu diperlukan kerana Bani Israil adalah kaum yang sangat sukar mempercayai sesuatu.

"Harun, gantikanlah tempatku selama aku tiada di sini. Perbaikilah keadaan mereka dan janganlah kamu mengikuti jalan yang sesat," pesan Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun.

Nabi Musa tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dengan Tuhannya. Dia berjalan dengan cepat. Akhirnya Nabi Musa mendahului pengikut-pengikutnya dan sampai di bukit Tur Sina.

"Apakah yang menyebabkan kamu bersegera datang ke mari lebih dahulu daripada kaummu, wahai Musa?" tegur Allah s.w.t. kepada Nabi Musa.

"Mereka ada bersama-samaku tidak jauh dari sini. Aku ingin segera berjumpa dengan-Mu wahai Tuhanku, supaya Engkau reda kepadaku," kata Nabi Musa.

"Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku zat-Mu yang Maha Suci, supaya aku dapat memandang-Mu," kata Nabi Musa lagi.

Allah s.w.t. tahu bahawa Nabi Musa tidak terdaya untuk memandang-Nya. Allah adalah zat yang tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata. Sebaliknya Dialah yang dapat melihat segala-galanya. Dialah yang Maha Halus lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Allah s.w.t menjawab permintaan Nabi Musa itu dengan berfirman:  "Engkau tidak akan  sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah gunung itu. Jika ia tetap berada pada tempatnya, engkau akan dapat melihat-Ku."

Setelah Allah s.w.t. memperlihatkan kebesarannya kepada gunung itu, gunung itu runtuh berkecai. Nabi Musa pengsan.

Apabila Nabi Musa sedar, baginda berkata: "Maha Suci Allah, aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang mula-mula beriman."

Nabi Musa menerima beberapa kepingan batu yang tertulis isi kandungan kitab Taurat. Ia mengandungi ajaran dan petunjuk yang diperlukan oleh Bani Israil. Ia juga mengandungi keterangan mengenai setiap hukum Allah s.w.t.

Setelah selesai Nabi Musa kembali menemui pengikut-pengikutnya. Baginda menyampaikan perintah Allah kepada mereka.

"Kami tidak akan taat sehingga kami melihat Allah dengan mata kami sendiri," jawab kaumnya dengan biadab sekali. 

Allah s.w.t. benar-benar murka dengan sikap biadab mereka itu. Tiba-tiba mereka disambar petir lalu mati kesemuanya.

Nabi Musa berdoa kepada Tuhannya, "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan kami sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang bodoh di antara kami!

Allah s.w.t menerima doa Nabi Musa dan menghidupkan mereka  semula. Lalu, mereka mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t.

Ketika Nabi Musa di bukit Tur Sina seorang lelaki bernama Samiri telah membuat sebuah patung anak lembu emas. Dia datang membawa patung tersebut di hadapan Bani Israil.

"Inilah tuhan kamu semua dan juga tuhan Musa," kata Samiri kepada Bani Israil.

Nabi Harun cuba sedaya upaya untuk menghalang kaumnya daripada menyembah patung itu. "Wahai kaumku, kamu sebenarnya ditimpa ujian melalui fitnah patung ini. Tuhan kamu yang sebenar ialah Allah Yang Maha Pemurah. Oleh itu hendaklah kamu patuh serta taat kepadaku," Nabi Harun memberi peringatan kepada kaumnya. Tetapi Bani Israil telah terpengaruh dengan perbuatan dan kata-kata Samiri.

"Kami tidak akan tinggalkan patung ini sehingga Nabi Musa kembali kepada kami," kata Bani Israil.

Allah s.w.t memberitahu Nabi Musa bahawa Bani Israil telah disesatkan oleh Samiri. Baginda segera kembali kepada kaumnya. Baginda sangat marah dan sedih.

"Wahai Harun, mengapa kamu tidak menghalang mereka daripada menyembah patung itu? Mengapa kamu tidak mengikut arahanku? Adakah kamu melanggar perintahku?" tanya Musa kepada Nabi Harun. Nabi Harun meminta maaf kepada Nabi Musa.

"Sebenarnya  aku  tidak  mahu  mencetuskan perpecahan di kalangan Bani Israil," jawab Nabi Harun.

"Mereka menganggap aku lemah. Mereka cuba membunuhku ketika aku melarang mereka menyembah patung itu," beritahu Nabi Harun lagi.

Nabi Musa berdoa: "Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku, masukkanlah kami ke dalam rahmat-Mu. Engkaulah yang Maha Mengasihani."

"Apa halnya dengan kamu, Samiri?" tanya Nabi Musa.
 
"Aku telah dihasut oleh hawa nafsuku," jawab Samiri.

"Kalau begitu, pergilah kamu dari sini," kata Nabi Musa. Baginda menghalau Samiri keluar dari situ dan mengasingkannya. Samiri hidup keseorangan seperti binatang liar.

Nabi Musa memerintahkan supaya patung itu dibakar dan dicampakkan ke dalam laut. Kini, Bani Israil sedar akan kesilapan mereka.

"Wahai kaumku, kamu telah menzalimi diri kamu sendiri kerana menyembah patung itu. Bertaubatlah kamu semua kepada Allah dan bunuhlah diri kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu di sisi Allah," kata Nabi Musa kepada kaumnya.

Bani Israil pun insaf dan bertaubat. Orang yang menyembah patung itu dibunuh oleh orang yang tidak menyembahnya. Begitulah caranya Allah s.w.t. menerima taubat mereka.

Allah s.w.t. memerintahkan supaya Bani Israil menetap di Baitul Maqdis. Mereka boleh tinggal bebas di sana. Namun begitu, Nabi Musa tahu kaumnya pengecut. Mereka tahu bahawa Baitul Maqdis diperintah oleh satu kaum yang gagah perkasa. Mereka tidak mungkin memasukinya selagi mereka belum mengusir keluar kaum yang gagah itu.

"Wahai Musa, di situ ada satu kaum yang gagah perkasa. Kami tidak akan masuk ke dalamnya sehingga mereka keluar dari situ," kata kaumnya.

"Pergilah kamu bersama Tuhan kamu dan berperanglah. Kami tetap akan duduk dan menunggu di sini," kata kaumnya lagi

Nabi Musa sangat marah mendengar jawapan Bani Israil yang pengecut itu. Baginda juga berasa sedih dengan sikap mereka.

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku tidak dapat menguasai sesiapa pun kecuali diriku dan saudaraku. Dan bezakanlah kami daripada kaum yang ingkar itu," Nabi Musa berdoa.

"Sesungguhnya negeri itu diharamkan bagi mereka memasukinya selama empat puluh tahun. Ketika itu, mereka akan merayau-rayau di padang pasir. Maka janganlah engkau sedih terhadap kaum yang ingkar itu," firman Allah s.w.t.

Dalam tempoh tersebut, Bani Israil hidup dalam keadaan susah dan menderita, sentiasa berpindah ke sana-sini.

Pada suatu hari Nabi Musa ditanya oleh kaumnya: "Siapakah manusia yang paling pandai di dunia ini?"

"Akulah orang yang paling pandai," jawab Nabi Musa.

Allah s.w.t. menegur Nabi Musa kerana baginda tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang perkara tersebut. Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya ada seorang hamba-Ku yang berada di tempat bertemunya dua laut. Dia lebih mengetahui daripada engkau."

"Wahai  Tuhanku,  bagaimanakah  aku  dapat menemuinya?" tanya Nabi Musa.

"Bawalah seekor ikan di dalam bakul. Apabila ikan itu hilang daripada kamu, maka di situlah tempat tinggalnya," firman Allah s.w.t.

Nabi Musa mengajak Yusha bin Nun untuk pergi bersama-samanya. Mereka berdua membawa seekor ikan di dalam bakul. Di dalam perjalanan tersebut mereka telah berehat sebentar berhampiran sebuah batu yang besar. Mereka pun meletakkan bakul yang dibawa di atas batu tersebut.

Tiba-tiba ikan yang mereka bawa melompat keluar daripada bakul tersebut lalu masuk ke dalam laut. Yusha terkejut dan hairan. Tetapi beliau tidak memberitahu Nabi Musa. Kemudian mereka meneruskan perjalanan mereka sehinggalah mereka berasa letih.

"Sediakanlah makanan tengah hari kita," kata Nabi Musa kepada temannya.

Yusha berkata kepadanya: "Kamu tahukah apa yang telah berlaku semasa kita berehat di batu besar itu? Aku benar-benar lupa tentang ikan itu. Syaitanlah yang menyebabkan aku lupa untuk memberitahu. Ikan itu melompat begitu aneh sekali ke dalam laut."

"Itulah yang kita kehendaki!" kata Nabi Musa.

Mereka segera berpatah balik ke tempat tersebut dengan mengikuti jalan yang sama. Mereka mendapati ada seorang lelaki memakai jubah. Nabi Musa memberi salam kepadanya.

"Bagaimana kamu boleh mengucap salam?' tanya lelaki itu. Beliau ialah Nabi Khidir.

"Aku Musa!" jawab Nabi Musa.

"Musa Bani Israil?" balas Nabi Khidir.

"Ya!" kata Nabi Musa. "Bolehkah kamu ajarkan aku sebahagian daripada ilmu yang telah diajarkan kepadamu, iaitu ilmu petunjuk?"

"Kamu tidak berupaya untuk bersabar bersamaku," jawab Nabi Khidir.

"Wahai Musa, aku mengikut ilmu yang Allah ajarkan kepadaku, kamu tidak tahu tentangnya. Dan kamu pula mengikut ilmu yang Allah ajarkan kepadamu, suatu ilmu yang aku pula tidak mengetahuinya!" kata Nabi Khidir lagi.

"Insya-Allah aku akan bersabar dan tidak akan membantah seruanmu," tegas Nabi Musa.

Nabi Musa dan Nabi Khidir memulakan perjalanan. Di  dalam peristiwa pertama Nabi Khidir telah membocorkan perahu yang mereka naiki. Kemudian Nabi Khidir telah membunuh seorang kanak-kanak. Selepas itu Nabi Khidir telah memperbaiki tembok sebuah rumah yang hampir roboh. Nabi Musa berasa sungguh hairan dan tertanya-tanya. Baginda tidak dapat bersabar lagi dengan peristiwa-peristiwa seperti itu.

"Masa untuk kita berpisah telah tiba," kata Nabi Khidir kepada Nabi Musa.

Nabi Khidir menjelaskan kepada Nabi Musa tentang apa yang dilakukannya.

"Adapun perahu itu dimiliki oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku merosakkan perahu itu sedikit dengan mencabut papannya. Ini adalah kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas setiap buah perahu yang elok dan tidak rosak."

"Kedua, mengenai kanak-kanak itu, kedua ibu bapanya orang yang beriman. Aku bimbang dia akan mendesak kedua ibu bapanya melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. Semoga Tuhan menggantikan mereka dengan anak yang lebih baik, lebih suci jiwanya serta penuh kasih sayang."

"Tentang tembok itu pula, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di pekan itu. Di bawah tembok itu terdapat harta terpendam milik mereka. Bapa mereka seorang yang salih. Sesungguhnya Allah menghendaki mereka cukup umur sebelum memiliki harta-harta tersebut. Itulah rahmat Allah untuk mereka."

"Lihatlah, aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Itulah perkara yang menyebabkan kamu tidak sabar ketika bersamaku. Kini aku telah jelaskan semuanya," tambah Nabi Khidir lagi.

Ketika itu Nabi Musa sedar bahawa seseorang itu tidak berupaya mencapai ilmu daripada Allah s.w.t. keseluruhannya.  Sebahagian  ilmu  Allah  s.w.t. dikurniakan kepada sesetengah orang, dan sebahagian lagi dikurniakan kepada sesetengah orang yang lain pula. Bagi setiap ahli ilmu, ada orang yang lebih berilmu daripadanya.

Tidak lama kemudian Nabi Musa pun wafat. Bani Israil masih dalam keadaan sesat. Mereka ketika itu berada di Sinai. Allah s.w.t. telah menghukum Bani Israil sebagai balasan atas segala amalan jahat mereka dan menimpakan kehinaan ke atas mereka hingga hari akhirat.

Walaupun banyak nikmat Allah s.w.t. yang diberikan kepada mereka, mereka tetap ingkar dengan perintah-Nya. Mereka ingkar terhadap perintah Allah dengan sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Allah tidak menzalimi  mereka,  akan  tetapi  merekalah  yang menzalimi diri mereka sendiri.

-TAMAT-