NABI ILYAS (ke-sembilanbelas) 
                                                   NABI ILYASA' (ke-duapuluh)

 
 

Nabi Ilyas adalah daripada keturunan Nabi Harun yang keempat. Baginda diutus oleh Allah s.w.t. kepada Bani Israil. Mereka tidak lagi menyembah Allah s.w.t. tetapi menyembah berhala. Di antara berhala yang terkenal bernama Ba'laa.  

Setiap hari Nabi Ilyas berdakwah kepada kaumnya. Namun mereka tetap degil dan tidak mahu menerima seruannya. Pada suatu ketika Allah s.w.t. telah menurunkan bala kepada Bani Israil yang berbentuk kemarau panjang selama tiga tahun. Tetapi mereka tetap tidak menerima hakikat bahawa apa yang terjadi itu adalah daripada dosa yang mereka lakukan. Sebaliknya mereka menuduh bahawa kemarau tersebut berlaku disebabkan oleh perbuatan Nabi Ilyas.

Pada suatu hari Nabi Ilyas telah memasuki sebuah rumah dan didapatinya ada makanan di situ. Pada hari yang lain  pula  Nabi  Ilyas  menjumpai  seorang kanak-kanak bernama Ilyasa' bersama-sama ibunya yang sedang menderita. Nabi Ilyas berdoa kepada Allah s.w.t. agar dihilangkan penderitaannya itu. Mulai saat itu Nabi Ilyas sentiasa mengambil berat tentang Ilyasa' sehingga kanak-kanak itu dijadikan anak angkatnya. Nabi Ilyas ketika itu sudah tua.

Nabi Ilyas tidak berputus asa menasihati Bani Israil. Nabi Ilyas berkata kepada mereka: "Sekiranya kamu meninggalkan penyembahan berhala-berhala itu, aku akan memohon kepada Allah untuk menghilangkan penderitaan yang sedang kamu hadapi."

Akhirnya mereka menerima nasihat Nabi Ilyas. Allah s.w.t. menerima doa baginda dan menurunkan hujan sehingga bumi kembali menjadi subur. Tetapi setelah itu Bani Israil kembali ingkar. Sekali lagi Nabi Ilyas berdoa agar hujan dihentikan, maka kembalilah keadaan kemarau yang berpanjangan sehinggalah Nabi Ilyas wafat.

Nabi  Ilyasa'  meneruskan  usaha-usaha  bapa angkatnya. Kaumnya hidup aman dan patuh kepada Allah s.w.t., tetapi suasana ini berubah apabila baginda wafat. Lama kelamaan mereka kembali menyembah berhala. Akhirnya Allah s.w.t. menurunkan bala dan menghapuskan kaumnya.

-TAMAT-